Malaysia Dateline

Kalau bukan sekarang, bila lagi? AWAN Kelantan gesa kerajaan negeri beli kit saringan, vaksin Covid-19

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Kelantan menggesa kerajaan negeri mengambil langkah lebih agresif bagi menyelamatkan nyawa rakyat daripada penularan Covid-19.

Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kerajaan negeri perlu segera melaksanakan ujian saringan wabak tersebut serta membeli sendiri bekalan vaksin Covid-19.

“Dengan kadar jangkitan melebihi 450 kes (positif Covid-19) setiap hari, kita perlu usaha yang lebih tuntas bagi menyelamatkan nyawa rakyat di negeri ini.

“Inilah masanya kerajaan negeri berbelanja untuk membelikan kit saringan Covid-19 dan juga vaksin bagi 1.9 juta rakyat Kelantan,” tegasnya.

Beliau menegaskan kit saringan tersebut penting supaya seramai mungkin rakyat yang positif Covid-19 dapat diasingkan sekali gus memutuskan rantaian jangkitan.

“Vaksin pula sebagai ikhtiar pencegahan dengan matlamat memvaksin 80 peratus rakyat agar imunisasi kelompok dapat kita capai.

“Kalau bukan sekarang, bila lagi?” ujarnya dalam kenyataan kepada Malaysia Dateline pagi ini.

Menurut laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), setakat pagi ini, seramai 75,773 penduduk di Kelantan telah divaksinasi.

Jumlah tersebut mewakili hanya 6.15 peratus populasi negeri itu yang divaksinasi sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu.