“Kalau cakap elok-elok, kita mesti bantu selesaikan masalah rakyat” – Anwar sedia bekerjasama dengan Sanusi

Oleh MAISARAH AISYA

Tidak kira perbezaan fahaman politik sekalipun, apabila melibatkan rakyat semua pihak harus bersatu dan bukan bertelagah.

Walaupun pelbagai kritikan dilemparkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi namun ia bukanlah halangan untuk Kerajaan Perseketuan untuk turun membantu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh bahawa beliau seorang yang sangat mudah untuk berbincang.

Malah akan meluluskan sesuatu projek demi kepentingan rakyat, asalkan didekati dengan cara baik lapor Kosmo! Online.

“Sebab itu saya kata kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi (Menteri Besar Kedah) bahawa saya ini mudah kalau cakap elok-elok. Ia kerana kerjasama kita untuk bantu selesaikan masalah rakyat.

“Kita ada berbeda pendapat sedikit dalam cara pendekatan tetapi itu tidak jadi masalah,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Tambah beliau selain isu basmi kemiskinan, kerajaan mempunyai banyak projek pembangunan lain di Kedah.

Ini termasuk yang dibentangkan kerajaan negeri dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Alor Setar, petang tadi.

“Kita ada projek-projek dengan keutamaan diberikan kepada rakyat seperti projek perumahan rakyat (PPR), manakala cadangan kerajaan negeri tentang kampung tersusun untuk orang miskin itu, saya minta selaraskan.

“Kalau perlu tambahan RM30 atau RM40 juta, saya boleh luluskan demi kepentingan rakyat miskin,” ujarnya.

Dalam pada itu Sanusi memaklumkan perbincangannya dengan Anwar berjalan secara harmoni berkaitan projek untuk rakyat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turun ke negeri ini hari ini dengan mesyuarat (berlangsung) agak harmoni.

“Kita sampaikan hasrat kita terus kepada Persekutuan dan dapat maklum balas baik daripada Perdana Menteri.

“Yang mana boleh lulus, dia (Perdana Menteri) lulus terus dan yang mana perlu kepada perincian, dia tanya terus kepada KSU, jadi cepat,” katanya.

Baca juga: Ketepi perbezaan politik, Anwar dan MB Kelantan senada mahu selesaikan isu berkait rakyat