Kalau dah menang kenapa perlu derma jihad lagi?

Kalau dah menang kenapa perlu derma jihad lagi?

Tindakan Pas merayu dan memohon derma jihad bagi menyelesaikan baki kos guaman kes saman ke atas presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report dipersoalkan.

Ini kerana sebelum PRU14 lalu Pas dikatakan telah menang kes berkenaan yang berjalan di London, tetapi selepas PRU14 pula lain ceritanya apabila Pas dikatakan masih memohon derma untuk membayar kos guaman.

“Yang mana satu betul? soal peguam Hanipa Maidin.

Beliau melontar persoalan ini di facebooknya yang menyifatkan Pas tidak perlu meminta derma jihad dan boleh menggunakan wang yang dimenanginya itu.

“Assuming betul dah menang , tak perlu lah nak kutip derma jihad lagi..bayar je pakai duit yang dah menang tu. Kan dah menang kes fitnah di London.

“..yang saya tahu jika betul menang di sana, jika kes fitnah.. mewah tau..bukan perlu minta derma ..boleh bagi derma lagi..ana tahu lah,” katanya.

Semalam, Pas merayu bantuan orang ramai untuk menyelesaikan baki kos guaman kes saman presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Pas melalui Naib Presiden Idris Ahmad memberitahu parti itu memerlukan sebanyak RM400,000 lagi bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, bayaran itu harus diselesaikan dalam tempoh dua minggu daripada sekarang kepada peguam di United Kingdom (UK).

Sehingga semalam wang yang terkumpul sebanyak RM69,000 dan memerlukan kira-kira RM331,000 lagi, manakala jumlah yang sudah dibayar hampir RM2.5 juta.

Sebelum ini, Pas dilapor mula membuat pembayaran kepada peguam terbabit dalam mata wang Pound Sterling pada 30 November 2016 sehingga Jun 2018.

Kes tersebut berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Abdul Hadi menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Umno-BN.