Malaysia Dateline

‘Kalau DAP berkuasa, habislah peluang rasuah Umno’, kata Kadir

Bekas wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru undi diberikan kepada parti itu bimbang DAP kembali berkuasa.

Kadir berkata, Umno bimbang jika DAP berkuasa, ‘gelap’ peluang Umno dalam isu rasuah.

“Ahmad Zahid takut DAP berkuasa. Betullah.

“Kalau DAP berkuasa, habislah peluang rasuah Umno. Dia pun kata, DAP ada idealisme,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Untuk rekod, Datuk Seri Najib Razak dan Ahmad Zahid adalah sebahagian daripada sekumpulan Ahli Parlimen yang digelar kluster mahkamah.

Sebelum ini Ahmad Zahid dalam hantaran Facebooknya berkata, Umno dan Barisan Nasional adalah parti politik yang paling berkredibiliti dan diyakini dalam menolak idealisme DAP.

Ahmad Zahid berkata, jika benar bimbangkan DAP kembali berkuasa maka kemenangan mutlak harus diberikan kepada Umno.