Malaysia Dateline

“Kalau dulu era MP Bagan beri RM100juta untuk sekolah tahfiz, kenapa tidak era ini?”

Dalam satu perkembangan yang dilihat jarang-jarang berlaku, seorang Ahli Parlimen PAS baru-baru ini dilaporkan memuji bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana tetap menyalurkan bantuan bernilai RM100 juta kepada sekolah tahfiz.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) membuat kenyataan tersebut selepas melihat banyak sekolah tahfiz yang menderita dan tidak mampu meneruskan operasi kerana tekanan kewangan akibat pandemik Covid-19, lapor Free Malaysia Today (FMT) kelmarin.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan segera membuat pengumuman bantuan sekali beri kepada sekolah tahfiz yang kebanyakannya sudah gulung tikar.

“Kita tak pertikai bantuan kepada sekolah aliran Cina tetapi dalam masa sama berapa sumbangan kepada sekolah tahfiz?

“Kalau dulu era Bagan (Lim Guan Eng), walaupun banyak perkara kita tidak setuju tapi beliau tetap berikan RM100 juta untuk sekolah tahfiz jadi kenapa tidak dalam era ini, pengumuman segera dibuat berapa ratus juta untuk pendidikan dan bantuan segera kepada sekolah tahfiz,” katanya di Dewan Rakyat.

Ahmad Fadhli juga mendesak Putrajaya membatalkan kenaikan cabutan nombor ramalan sebanyak 22 kali setahun pada tahun ini, sambil menegaskan ia tidak memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya tidak bertindak memaksa anggota kerajaan (wakil rakyat menyokong kerajaan) seperti PAS untuk membuat ugutan dalam kerajaan yang mempunyai majoriti kecil.

“Ia beri isyarat tidak baik, berapa banyak sangat wang yang dapat disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan yang akhirnya mengundang ketidakberkatan dalam perbelanjaan negara.

“Saya harap jangan memaksa kita ahli kerajaan membuat ugutan dalam (kerajaan) majoriti yang kecil,” katanya.