Malaysia Dateline

‘Kalau kedai makan boleh buka 10 malam, mahu kawalan apa lagi?’

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah dilema peniaga kecil dan penjaja ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang cacamarba dan hanya ‘membunuh’ mereka secara senyap.

Akur dengan tujuan PKP bagi melandaikan lekuk penularan Covid-19, peniaga burger, Hareez Anwar bagaimanapun berharap kerajaan tidak harus mengamalkan dasar pilih kasih.

Apa yang berlaku sepanjang PKP 2.0, katanya, pasaraya seperti tidak ‘terusik’ hingga boleh beroperasi seperti biasa tetapi peniaga gerai dan penjaja kerap keliru ekoran arahan yang tidak jelas.

Jelasnya, hal ini termasuklah ketika kerajaan hanya membenarkan kedai makan dan gerai penjaja beroperasi untuk perkhidmatan bawa pulang bermula jam 6 pagi hingga 8 malam.

Selepas rakyat berang, ujarnya, barulah kerajaan kemudiannya membenarkan operasi restoran, kedai makan dilanjutkan sehingga jam 10 malam.

“Kita memang nak berniaga. Dalam masa yang sama, kita tahu akan situasi pandemik. Jadi, kita tidak mahu penjaja dan peniaga jadi punca meletus pula kluster seterusnya.

“Sebahagian besar perniagaan dibenarkan dibuka. Sebahagian lagi tidak kerana birokrasi. Ada kedai dibenarkan dibuka, ada yang tidak.

“Aneh, alasan yang mereka guna untuk menghalang kedai dibuka tidak pula digunakan untuk pasaraya besar yang memiliki jenis perniagaan yang sama!” keluhnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Lebih memburukkan lagi keadaan, katanya, seperti tiada penyelarasan daripada segi garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerajaan negeri atau jabatan berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kuasa mutlak

Tiga tahun lalu, Hareez yang makan gaji di ibu negara mengambil keputusan pulang ke kampungnya di Kuala Linggi, Melaka untuk bekerja sendiri dengan membuka gerai burger.

Namun, sejak setahun pandemik Covid-19 melanda, beliau sepertimana ribuan golongan peniaga kecil dan penjaja kerap terjejas sumber pendapatan ekoran pelaksanaan PKP.

Walaupun mengakui kelonggaran waktu operasi perniagaan pada PKP 2.0 membantu golongan peniaga sepertinya untuk mencari rezeki tetapi jumlah pelanggan tidak seramai seperti kelazimannya.

Oleh sebab itu, beliau hairan kewajaran pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini kerana pihak berkuasa dilihat masih benak dalam memanfaatkan kelebihan dengan memastikan arahan hanya datang dari satu punca.

Hareez menyifatkan kerajaan sama ada gagal memanfaatkan kuasa mutlak atau sebenarnya tidak tahu mereka memiliki kuasa mutlak.

“Atau terdapat konflik dalaman apabila kesemua orang masih mahu memegang kuasa walaupun dalam tempoh darurat.

“Sebab apa saya kata begitu? Nak buka kedai pun sampai kena pergi semua pejabat PBT dan MITI (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri). Ini gila!” bentaknya.

Sehubungan itu, Hareez menggesa kerajaan memastikan pelaksanaan siri PKP selepas ini tidak lagi memangsakan peniaga kecil dan penjaja.

“Cukuplah kami tertekan sebelum ini. SOP perlu diubah suai mengikut keperluan semasa termasuk kelonggaran untuk lokasi dalam zon bukan merah.

“Dalam masa yang sama, orang yang berkuasa mesti dilantik supaya peniaga kecil tidak teraba-raba mencari maklumat.

“Lagi satu, kalau restoran dan kedai makan sudah boleh buka sampai pukul 10 malam, buat apa ada kawalan lagi?” soalnya lagi.