Malaysia Dateline

“Kalau majoriti sokong, bolehlah kata ramai tolak Speaker”

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya penyingkiran Speaker Dewan Rakyat disokong majoriti ahli Parlimen, maka bolehlah dikatakan ramai yang menolak Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Namun katanya, keputusan undi belah bahagian hanya menyaksikan perbezaan dua sokongan sahaja.

Malah, ahli Dewan juga tidak diberi hak memilih Speaker yang baharu dan tidak diberi hak bersuara.

“Buat kali pertama Yang Dipertua Dewan Rakyat disingkir atas sebab ada calon lain. Itu sahaja. Tidak ada apa pun kesalahan. Hanya kerana ada calon lain.

“Kemudian datang pengganti, Tidak ada pemilihan. Pakai jubah dan berlagak sebagai Speaker.

“Kerajaan pimpinan Muhyiddin jelas membelakangkan sistem pemilihan kerajaan Malaysia. Sekarang kerajaan Muhyiddin juga tidak hormati aturan peraturan Dewan Rakyat,” katanya melalui hantaran blog chedet hari ini.

Terdahulu, kerusi Speaker dikosongkan selepas PN berjaya memperoleh 111 sokongan yang bersetuju untuk menggugurkan Mohamad Ariff dengan seramai 109 yang menolaknya.

Sebelum usul pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dibentang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), pembangkang menyuarakan hasrat untuk turut menamakan calon mereka.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa notis 14 hari diperlukan untuk pencalonan itu dan pembangkang tidak mencalonkan sesiapa dalam tempoh tersebut.

Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) pula membalas dan berkata tempoh 14 hari sepatutnya bermula selepas jawatan Speaker dikosongkan.

Sementara itu, Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi, turut menyindir bahawa kehendak kerajaan nampaknya mesti diterima seluruh ahli.

Mahathir berkata, Speaker baharu yang mengambil alih kerusi Speaker itu juga menghentikan suara ahli dewan, menjemput Setiausaha untuk menyatakan tajuk dan usul diterima dengan tidak mempedulikan pandangan ahli lain.

Katanya, jika inilah caranya dewan bersidang, maka pembangkang tidak diperlukan.

“Apa sahaja usul Kerajaan tetap diterima.

“Apa perlunya Parlimen. Memadailah sudah dengan adanya Kerajaan, walaupun kerajaan Pintu Belakang,” katanya lagi.