Malaysia Dateline

Kalau MB boleh cari penaja bola sepak Kedah kenapa vaksin tidak boleh, soal DAP

DAP Kedah mendesak kerajaan negeri memulakan inisiatif untuk membeli sendiri vaksin seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Sarawak.

DAP Kedah berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Kedah mampu membiayai sendiri kos pembelian vaksin tanpa perlu mengharapkan Kerajaan Persekutuan kerana nilai pelaburan yang masuk untuk suku pertama tahun ini sahaja pun sudah mencecah RM43 bilion.

Setiausaha Publisiti DAP Kedah Mohd Shubihi Muhamad Zain yakin pulangan pelaburan cukup lumayan dan adalah sangat munasabah kiranya Kerajaan Negeri sudi membelanjakan sedikit demi menyelamatkan rakyat di negeri ini.

“Jika kantung Kerajaan Negeri pun kekeringan seperti mana kantung Kerajaan Persekutuan, langkah lain yang boleh dilakukan bagi menangani masalah ketidakcukupan vaksin ini ialah mencari mana-mana pihak yang bermurah hati untuk menaja pembelian vaksin kepada rakyat negeri ini seperti mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Seandainya Menteri Besar boleh mengerahkan usaha mencari penaja kepada pasukan bolasepak Kedah adalah tidak mustahil untuk beliau melakukan hal yang sama untuk pembelian vaksin Covid-19 demi merealisasikan “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua” itu bukan sekadar omongan kosong,”katanya.

Katanya, sasaran Imuniti Kelompok iaitu pencapaian 80 peratus populasi divaksinasi perlu disegerakan.

“Lagi cepat rakyat Negeri Kedah divaksinasi, lagi cepatlah negeri kita pulih dan ekonomi negeri boleh berkembang maju. Kesemuanya ini menuntut kepada kerjasama semua pihak tidak mengira di pihak mana pun kita berada,” ujarnya.

Mengikut statistik di laman web JKJAV sehingga 12 Jun 2021, peratusan rakyat Negeri Kedah yang telah mendaftar ialah seramai 798,494 orang (49.9%) manakala mereka yang telah divaksinasi ialah seramai 190,376 orang (11.9%).

Menurut Shubihi, statistik ini menunjukkan bahawa program ini sangat lambat pergerakannya di mana peratusan ini jika mengikut skala pemarkahan SPM yang baru berlalu pun akan dikira gagal.

“Kenapa gagal? PICK sebenarnya sudah berlangsung hampir empat bulan sejak bermula iaitu pada 24 Februari 2021 yang lalu. Namun pergerakannya seperti baru sahaja dilancarkan.

“Punca yang dikenal pasti ialah pendaftaran yang terlalu perlahan dan bekalan vaksin yang tidak mencukupi bagi menampung permintaan.

“Justeru semua pihak perlulah berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak berwajib bagi mempercepatkan dan sekaligus menjayakan PICK sebagai ikhtiar melawan Covid-19 yang telah meragut banyak nyawa keluarga dan saudara kita. Proses pendaftaran untuk pengambilan vaksin perlu digerakkan dengan apa cara sekali pun,” kata beliau.

Dalam pada itu, DAP Kedah akan meyediakan talian hotline dan menggerakkan sukarelawannya membantu mempercepatkan proses pendaftaran pengambilan vaksin Covid-19 di kesemua 36 DUN yang terdapat dalam Negeri Kedah.

“Orang ramai yang menghadapi kesukaran capaian internet atau pergerakan terbatas boleh berhubung dengan sukarelawan yang bertugas,” katanya lag;i.

Katanya, bekalan vaksin untuk Negeri Kedah adalah amat terhad dan terlalu sedikit ini juga menyumbang kepada kegagalan dan kelembapan PICK di negeri ini.

“Statistik yang sama menunjukkan hanya 11.9 peratus sahaja telah divaksinkan berbanding 49.9 peratus yang telah mendaftar dan bersetuju untuk pengambilan vaksin.

“Kegagalan ini seharusnya dipertanggungjawabkan Kerajaan Negeri Kedah itu sendiri,” kata beliau.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah tidak berhasrat untuk membeli sendiri bekalan vaksin Covid-19 berikutan belum ada keperluan, setakat ini.

Ini kerana selain jumlah pendaftaran untuk mendapatkan suntikan vaksin di Kedah masih rendah kerajaan negeri menyifatkan Covid-19 juga masih terkawal tidak seperti di negeri-negeri lain.

Namun, sekiranya pendaftaran imunisasi meningkat secara mendadak dan kes turut meningkat, pihak kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat untuk melihat keperluan untuk membeli bekalan vaksin sendiri.