Malaysia Dateline

Kalau Menteri pun kena rakam, apakah Malaysia negara selamat, soal Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan sejauhmana keselamatan negara susulan tersebarnya satu rakaman audio mirip Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tersebar sejak semalam.

Beliau bagaimanapun tidak mempersoalkan siapa yang merakam atau adakah rakaman audio berkenaan tulen, sebaliknya melontarkan pertanyaan apakah perbualan itu satu skandal.

“Kalau Menteri KDN pun kena rakam, maka apakah Malaysia negara selamat? Ia bukan soal siapa yang rakam dan apakah ia tulen tetapi soalnya apakah butiran perbualan itu satu skandal?,” katanya di Facebook.

Satu rakaman audio yang disunting bersama video berdurasi 1 minit 22 saat tular sejak semalam dan dikatakan mirip Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu.

Kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain turut menyebut mengenai lantikan seorang individu yang berasal dari Ipoh antara perkara yang dibualkan dalam rakaman itu.

Pada 12 April lalu, Hamzah menafikan pembabitannya dalam urusan pertukaran pegawai kanan polis kerana katanya, sebarang urusan pertukaran pegawai kanan polis adalah keputusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

Reaksi Pengerusi SPP itu adalah susulan dakwaan bekas pemimpin Bersatu berkenaan campur tangan beliau dalam pertukaran pegawai kanan polis.