Malaysia Dateline

‘Kalau Parti Kuasa Rakyat lulus, MUDA pun kena lulus’

Sekiranya Parti Kuasa Rakyat yang baru diasaskan abang kepada Perdana Menteri diluluskan sebagai sebuah parti politik, permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga perlu diluluskan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, tiada apa yang perlu ditakutkan pada Pengasas parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Sama tapi tak serupa. Kini ada dua parti PKR. Parti Keadilan Rakyat dan Parti Kuasa Rakyat.

“Jangan pula pendaftaran PKR (baru) lulus, MUDA tak lulus. Takut apa pada Syed Saddiq. Elok luluskan kedua duanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

“Parti baru Azmin Ali bila pula?,” tambahnya.

Semalam Parti Penaja Kuasa Rakyat yang diasaskan oleh Kamarazaman Yaakob secara rasminya dilancarkan di The Diplomat, Pekarangan Tun Ismail.

Perasmian parti baharu itu berkonsepkan Nasionalisme Marhaenisme yang memperjuangkan nasib rakyat terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta anak muda.

Presidennya Kamarazaman berkata, parti tersebut akan bersuara, bergerak dan berjuang dalam menuntut hak-hak dan keperluan golongan terlibat dan anak muda selain menumpukan kepada pendidikan percuma, menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu, Muda, sebuah parti politik yang dipimpin sekumpulan anak muda dan ditubuhkan pada September tahun lalu masih gagal didaftarkan sebagai sebuah parti politik yang sah.

Pada 12 Ogos lalu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin menolak rayuan Muda untuk didaftarkan sebagai parti politik, menyebabkan kumpulan itu mencabar keputusan berkenaan di mahkamah.