Malaysia Dateline

Kalau percaya tiada kerjasama MN dalam PRN Melaka, tanggunglah sendiri akibatnya

Semua pihak diberikan ingatan agar jangan percaya sangat dengan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa tidak akan ada Muafakat Nasional (MN) dalam pilihan raya negeri Melaka.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamad Hanipa Maidin dalam kenyataan sinisnya berkata, jika mereka mempercayai apa yang dikatakan Zahid, “tanggunglah sendiri.”

“Media lapor presiden parti mengarut se Malaya habaq tiada Muafakat Nasional dalam PTN Melaka.

“Mungkin ada yang tertinggal pada berita tu ‘Beware! percaya kalu at your own risk,” tulis Hanipa.

Hanipa berkata demikian ketika mengulas kenyataan Zahid bahawa tidak akan ada Muafakat Nasional dalam PRN Melaka.

Ahmad Zahid berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun Pas pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan datang.

Dalam sebuah program bual bicara beberapa malam lepas, pengacara Rafi Awang Kechik bertanya kepada Zahid sama ada Muafakat Nasional (MN) akan bertanding dalam pilihan raya negeri itu.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK (pilihan raya kecil) yang pernah diadakan.

“Biarlah Umno bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan Insya Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” kata Ahmad Zahid.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan selepas empat Exco Kerajaan Negeri menarik balik sokongan mereka kepada Melaka pimpinan Umno.

Ekoran itu, kerajaan Melaka jatuh.

Walaupun mengikut keadaan biasanya, kerajaan Melaka perlu bertukar, Ketua Menteri dari Umno memohon Yang Dipertuan Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan Dewan Negeri.

Speaker DUN Melaka yang juga Pengerusi Umno Melaka kemudiannya mengumumkan DUN Melaka dibubarkan.