Malaysia Dateline

Kalau presiden kami ahli zoologi, awak sesumpah, kata MP Pas kepada Zahid

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadli Shaari menyifatkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga berkata, Zahid sentiasa “bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas?

“Hairan saya, kenapa ada lagi yang mempercayai ucapan Datuk Seri yang terang-terang hanya memperbudakkan pendengar?” kata Fadli membalas ucapan Zahid yang menggelarkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ahli zoologi.

“Jika membalas begitu pun sudah dilabel ahli zoologi, Datuk Seri ahli apa?

“Ahli sihir yang sekejap uzur ke mahkamah kemudiannya sihat sejahtera memikul beras?

“Atau Datuk Seri lah sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah, bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas?” kata Fadli menerusi facebooknya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam menyindir Abdul Hadi dengan mengesyorkan Presiden Pas itu menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

Ia susulan gelaran “itik patah kaki” kepada Umno sebagaimana kenyataan dikeluarkan Hadi baru-baru ini.

“Saya mengikuti banyak wawancara dan banyak ucapan pemimpin itu. Banyak kiasan yang berkaitan dengan haiwan (digunakan).

“Saya fikir eloklah dia tukar profesion daripada ahli politik kepada ahli zoologi,” kata Zahid dengan sinis seperti dilaporkan Malaysiakini.

Sebelum ini, Hadi berkata, Umno umpama itik patah kaki. Setelah diubati oleh Pas, itik ini mahu berjalan sendiri sebagaimana pengumuman Umno mahu bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri Johor.