Malaysia Dateline

Kalau restoran boleh, kenapa surau di zon hijau tidak boleh dibuka, tanya Mujahid

Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan sekali lagi agar surau-surau di taman-taman perumahan di zon hijau dibenarkan beroperasi dengan peraturan yang ketat.

Mujahid mengulangi gesaannya sebelum pengumuman Muhyiddin semalam bahawa surau dan masjid perlu di buka dengan dikenakan syarat yang ketat untuk membolehkan umat Islam menjalan solat berjamaah terutama di bulan Ramadan ini.

“Kalau restoran boleh dibuka dengan syarat-syarat tertentu, kenapa kita tidak boleh benarkan surau terutama di taman-taman perumahan yang berada dalam zon hijau dibuka juga dengan syarat-syarat tertentu.

“Bagi saya, pengunjung surau boleh lebih berdisiplin berbanding dengan pengunjung restoran,” kata Mujahid mengulas pengumuman Muhyiddin yang memaklumkan semua perniagaan boleh dibuka kembali termasuk restoran dan gerai makanan dengan peraturan tertentu.

Namun Muhyiddin menegaskan, aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Turut tidak dibenarkan adalah majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan
perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan.

Sebelum pengumuman Muhyiddin, Mujahid mencadangkan agar surau dan masjid di kawasan zon hijau dibenarkan untuk beroperasi dengan syarat-syarat tertentu.

Antaranya Mujahid mencadangkan agar solat terawih dibenarkan dengan hanya empat rakaat sahaja tanpa tahmid dan wirid bagi menjadikan ibadat itu cepat selesai dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Mujahid juga mencadangkan agar orang ramai yang ingin ke surau dan masjid diambil suhu badan mereka bagi menentukan mereka tidak bergejala.