Malaysia Dateline

Kalau saya curi duit Armada, kenapa Wan Fayhsal pujuk saya sokong PM?

Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal didakwa pernah memujuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) sebelum Ahli Parlimen Muar itu didakwa di mahkamah atas tuduhan menyeleweng dana.

Saddiq berkata, beliau telah menolak ajakan tersebut dan selepas itu beliau telah didakwa di mahkamah atas tuduhan menyeleweng dana Bersatu semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ketua Armada datang ke rumah saya sebelum saya dituduh untuk memujuk saya kembali kepada Perikatan Nasional (PN).

“Saya rasa kalian boleh fikirkan. Kalau betul lah saya curi duit parti, kenapa nak suruh saya kembali menyokong?

“Ibratnya seorang CEO syarikat yang dituduh pecah amanah, curi duit syarikat tapi pada masa sama syarikat itu masih nak kekalkan dia. Kalau dah curi buat apa nak kekalkan lagi. Selalunya dah kena buang,” katanya dalam sidang media di hadapan Mahkamah Sesyen hari ini.

Pada masa sama, Syed Saddiq turut menyatakan rasa hairan apabila tuduhan pecah amanah itu berkait sewaktu pilihan raya tahun 2018 dan bukannya sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Ini katanya, membuktikan bahawa beliau tidak pernah melakukan hal penyelewengan apatah lagi wang dana politik.

“Lazimnya kalau seseorang ingin pecah amanah, dia pergi ke kementerian. Tapi dalam tempoh kurang dua tahun, tidak ada satu sen pun yang pergi kepada saya. Sebab itu mereka kembali semula pada 2018.

“Tekanan politik sebegini, ugutan dan sogokan saya tak akan tunduk kerana saya percaya saya berada di pihak yang benar,” katanya lagi.