Malaysia Dateline

Kalau saya menteri, percuma pencuci tangan, topeng muka

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN), Sanator Aiman Athirah berkata, jika beliau adalah menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau akan memastikan semua rakyat negara ini mendapat topeng muka dan pencuci tangan secara percuma.

Ini kerana, kata beliau, ini adalah antara dua barangan yang sangat diperlukan oleh rakyat sekarang dalam melawan Covid-19.

“Jika saya adalah Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya akan peruntukkan dana khas masyarakat dan pastikan semua menerima Face mask dan Hand sanitizer percuma,” tulis Aiman dalam facebooknya.

Rata-rata netizen di laman sosial Facebook hari ini memuji hantaran Senator Aiman itu, yang dilihat sangat prihatin terhadap masalah dihadapi rakyat.

Selepas memuat naik hantaran itu, netizen tidak putus-putus memuji tindakan Aiman Athirah yang dinilai sebagai seorang yang cakna terhadap masyarakat menerusi ‘kata-kata’ beliau.

Menerusi pengamatan wartawan, seorang netizen yang menggunakan nama ‘An Niza’ turut senada dengan Aiman Athirah di saat penularan wabak Covid-19 ini.

“Sangat SETUJU Yb. Nak mencari sumber Face Mask pun sangat susah. Semua Kecewa bila ke farmasi, jawapannya sejiwa, Face Mask HABIS, tak ada stok,” luah netizen tersebut.

Tidak membiarkan rakan-rakan alam mayanya bersendirian, Aiman Athirah dilihat turut memberikan komen.

“Ia bukan janji, tapi adalah tanggungjawab yg paling simple perlu dan boleh dilaksanakan.”

Jawapan balas oleh Aiman Athirah itu disambut seorang warga maya yang menulis “Betul Yb, ia adalah common sense..”

Tidak kurang pula ada netizen yang menulis “Alhamdulillah, biar Menteri Kerajaan Atap buat kerja, nak sangat!!!!.”