Malaysia Dateline

‘Kalau sudah berhutang elok bayar saja’

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menasihatkan Harakah agar tidak berdolak-dalih berhubung hutang kepada syarikat pencetak.

Menurutnya, syarikat pencetak akhbar lidah rasmi Pas itu masih beroperasi di lokasi sama sekali gus Harakah sewajarnya melangsaikan hutangnya.

“Nama syarikat saja yang tukar. Pemiliknya pun masih hidup. Pekerjanya pun masih bertugas.

“Kalau dah berhutang, tak payahlah pusing-pusing. Elok bayar saja. Syarikat pemiutang itu milik orang Islam sepenuhnya,” ujarnya.

Sebaliknya, Ustaz Zolkharnain berkata, Harakah harus berterus-terang sekiranya tidak mempunyai wang tanpa mencari pelbagai alasan.

“Hutang wajib dibayar sekalipun pemiutang sudah tiada. Atas mimbar pandai kamu menfiraunkan orang lain, kononnya halang dakwah, tindas Islam bla bla bla.

“Kamu sendiri tak mahu bayar hutang kepada syarikat Muslim tak kira tindas? Konon nak boikot non Muslim, tapi rasanya kini Harakah dicetak di kilang non Muslimkan?” tempelak Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu lagi.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dilapor mengakui Harakah berhutang dengan sebuah syarikat percetakan.

Bagaimanapun, jelasnya, syarikat terbabit sudah muflis menyebabkan Pas memilih syarikat percetakan lain untuk membolehkan Harakah terus diterbitkan.