Malaysia Dateline

‘Kalau sudah tidak boleh guna bahasa Melayu, datang ke Dewan Negara, kita betulkan’

Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini memberi peringatan dan teguran kepada kementerian, menteri serta timbalan menteri supaya mengutamakan penggunaan istilah bahasa Melayu ketika menjawab soalan.

Saranan dan teguran itu dibuat ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, ketika Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya menjawab soalan dibangkitkan berkaitan satu program di bawah kementeriannya.

Muslimin sebelum itu, berulang kali menggunakan istilah bahasa Inggeris bagi merujuk program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE), satu program bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan dan berkebolehpasaran graduan.

“Apa kata kalau kementerian cuba melihat Latihan Profesional dan Pendidikan Bagi Usahawan atau PROTEGE. Kalau semua kementerian mulai sekarang menggunakan bahasa Inggeris dalam semua programnya, akhirnya kita akan hilang identiti Malaysia.

“Cuba ini sedaya upaya bagi kita. Bukan kata apa, Malaysia negara kita, bahasa kebangsaan kita sudah jelas di bawah Perkara 152 (Perlembagaan). Mari kita cuba sedaya upaya.

“Kalau sudah tidak boleh atau ‘kelelong’ lidah, datang ke Dewan Negara, kita betulkan,” katanya ketika mempengerusikan sesi Dewan Negara, hari ini.

Terdahulu, ketika Muslimin mula menjawab persoalan berkenaan PROTEGE yang ditanya Senator Datuk Seri S Vell Paari, Rais turut meminta beliau memperbetulkan penggunaan istilah ‘end to end’ yang disebutnya, supaya ditukar kepada ‘hujung ke hujung’.

Dewan Negara hari ini meneruskan persidangannya dengan tumpuan kepada sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) peringkat kementerian.

RMK-12 dari 2021 hingga 2025 itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat selepas dibentang pada 27 September lalu dan dibahas oleh 106 Ahli Parlimen.