Kalau tak suka, buat pilihan lain, kata Mukhriz

Kalau tak suka, buat pilihan lain, kata Mukhriz

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengajak rakyat menukar kerajaan negeri kepada PH dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau yakin krisis kepimpinan di negeri Kedah yang menyaksikan beliau disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar dua tahun lalu bukanlah atas pilihan rakyat.

“Saya kini tidak pegang jawatan kerajaan tetapi ketika saya menjadi menteri besar kerana tuan puan pada waktu itu bagi sokongan kepada kami BN tetapi saya digugurkan… yang ganti saya bukan pilihan tuan puan betul tak?” soalnya dalam ucapan aluan Rapat Umum Selamatkan Malaysia di Dataran Stargate Alor Setar malam ini.

Menurut Adun Ayer Hitam itu juga, dalam pilihan raya, rakyat yang menentukan siapa pemimpin yang dimahukan, namun ujarnya, apa yang berlaku seorang sahaja iaitu Datuk Seri Mohd Najib Razak yang membuat pilihan (melantik menteri besar) berbanding pilihan rakyat pada PRU13 lalu.

“Jadi kalau tak suka buatlah pilihan yang baharu dalam PRU-14.

“Waktu saya jadi MB saya bela nasib rakyat desak kerajaan turunkan GST daripada 6% ke 3% tetapi dululah ketika dalam kerajaan.

“Kalau dulu saya dah bela nasib rakyat waktu pembangkang (Pakatan Harapan) patinya saya nak bela nasib rakyat,” ujarnya yang mendapat tepukan gemuruh.

Timbalan Presiden Bersatu itu juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat negeri Kedah yang hadir dari pagi hingga malam ini dalam Kenduri Rakyat dan Rapat Umum yang diadakan.

“Tiap yang hadir sangat bermakna bagi kami. Bila banyak gangguan dilakukan pihak sana (Umno-BN), ada yang nyatakan perhimpunan telah dibatalkan atas sebab tertentu semata-mata untuk menggagalkan himpunan ini.

“Saya seronok bila melihat 200 orang yang dilaporkan tv tiga suku terima kasih kerana hadir bersama kita,” ujarnya disambut derai tawa hadirin.

Ribuan hadirin memenuhi Dataran Wisma Harapan Baru Kedah dalam program Rapat Umum Selamatkan Malaysia malam ini. Foto Media Oren

Siang tadi, satu mesej pengumuman pembatalan program didakwa atas arahan pihak berkuasa telah tersebar menggunakan akaun palsu Facebook Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Dalam notis itu, pembatalan dikatakan terpaksa dibuat atas faktor keselamatan kerana mendapat makluman bahawa seramai 300 orang rombongan Kaum Bugis akan hadir membuat bantahan di lokasi tersebut.

Walaupun terdapat cubaan sabotaj itu, program tetap berjalan lancar dengan kehadiran lebih kurang 7,000 orang malam ini.

 

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS