Kalau pergi kedai mamak mesti terlihat di sebalik kaca tu pelbagai jenis kari ada yang boleh dipilih untuk dinikmati bersama nasi atau roti canai.
Tapi kalau dekat rumah mesti rasa tu tak sama maka tertanya-tanya apa rahsia atau resipi ini sebab kalau nak beli setiap hari boleh pokai, darah pun naik.
Ini adalah resipi yang dikongsikan pengguna Facebook, Mamak Haji dan ia adalah untuk sekilogram daging kambing dan dimuat naik di MyResipi.
Resipi kari kambing mamak
Bahan-bahan:
- 1 kg daging kambing batang pinang ~ mamak haji guna kiub mutton
- 2 biji tomato ~ potong baji
- Garam secukup rasa
- 2 sudu besar cuka tiruan
- 1 1/2 cawan santan
- 3 sudu besar minyak masak
- 3 sudu besar minyak sapi
- 10- 20 helai daun kari
Pes rempah kisar halus dengan sedikit air:
- 15 ulas bawang merah
- 2 labu bawang besar
- 3 cm halia
- 6 ulas bawang putih
Bahan rempah ratus:
- 6 kuntum bunga cengkih
- 2 cm kulit kayu manis
- 6 biji buah pelaga
- 2 kuntum bunga lawang
Rempah serbuk bancuh dengan sedikit air:
- 1 sudu besar garam marsala
- 1 sudu teh serbuk lada putih
- 3 sudu besar rempah kari daging
- 2 sudu besar cili serbuk
- 1 sudu besar serbuk jintan putih
- 1 sudu besar serbuk ketumbar
- 1 sudu besar serbuk kunyit
Cara-cara penyediaan:
- Masukkan cuka, garam 1/2 sudu kecil,1 sb pes rempah kisar, 1 sb serbuk cili dan serbuk kunyit, sebatikan bahan2 dan sapukan pada permukaan daging kambing.
- Peramkan daging tadi semalam atau dua jam paling kurang dalam peti sejuk.
- Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk atau kuali.
- Masukkan daun kari, rempah ratus dan pes rempah.
- Tumis atas api kecil selama 10 minit atau sehingga harum. Masukkan pes rempah serbuk.
- Biarkan semua campuran ini masak hingga pecah minyak (kelihatan minyak akan ke tepi) menunjukkan semua kandungan air dalam pes itu telah sejat dan telah masak.
- Masukkan daging. Kacau selalu selama kira-kira 15 minit atau sehingga daging disaluti dengan bahan rempah dan perisa meresap ke dalam daging.
- Tambahkan air secukupnya paras tenggelam daging.
- Renehkan, kacau selalu selama satu jam atau hingga daging empuk.
- Masukkan tomato, santan dan perasakan secukupnya dengan garam. Siap!
Tips tambahan:
- Cara nak elakkan daging berbau adalah dengan merebus daging kambing bersama daun pandan, halia, sedikit garam sehingga empuk.
- Teknik ini sangat berkesan apabila ingin memasak nasi arab kambing atau sup.
- Bagi hidangan kari pula, perapkan daging dengan rempah-rempah sebelum memasaknya, yang mana dapat mengurangkan bau hamis kambing.
Selamat mencuba!
Baca juga: Patutlah makan kat kedai lembut je! Rupanya kena goreng dulu sotong kembang