Malaysia Dateline

‘Kalau tidak keluar mengundi, jangan merungut kerajaan pilihan orang lain’

Rakyat Melaka perlu keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini bagi memastikan kerajaan negeri yang mendapat mandat nanti adalah yang terbaik dalam mengutamakan kepentingan rakyat.

Calon DUN Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dari Pakatan Harapan (PH) berkata, pengundi tidak harus memandang remeh PRN kali ini memandangkan wakil rakyat yang dipilih akan berkhidmat selama lima tahun.

“Kalau tidak keluar mengundi, kita terpaksa berada di bawah kerajaan yang orang lain pilih untuk tempoh selama lima tahun.

“Kita yang tidak mengundi tidak boleh merungut kepada kerajaan yang dipilih orang lain,” katanya walaupun ada yang muak dengan situasi politik semasa.

Sofi yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka berkata demikian dalam temubual eksklusif Malaysia Dateline hari ini.

Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab

Dalam PRN Melaka ini, Sofi akan berentap dalam pertembungan empat penjuru dengan Zahari Abd. Kalil (BN-Umno), Ja’afar Othman (PN-Pas) dan Mohd Erfan Mahrilar (Bebas).

Mengulas lanjut, penyandang DUN Durian Tunggal itu berkata, pembentukan kerajaan negeri pada PRN kali ini sangat penting.

“Antara PH, PN dan BN ini, sudah tentu ada yang paling baik. Kalau buruk sekali pun sudah tentu antara ketiga-tiga itu, ada yang paling kurang buruk.

“Sudah tentulah PH adalah kerajaan terbaik. Kita sudah buktikan integriti. Tiada wakil rakyat PH sepanjang 22 bulan pentadbiran lepas disabitkan dengan jenayah rasuah.

“Ketua Menteri (PH) juga jelas mempunyai kepimpinanan dengan program-program yang baik untuk rakyat. Tidak ada sebab untuk rakyat tidak memilih PH,” kata Sofi yang juga Ketua AMANAH Kawasan Hang Tuah Jaya itu lagi.