Kalau tidak puashati tendang kami keluar, kata Guan Eng

Kalau tidak puashati tendang kami keluar, kata Guan Eng
Antara masyarakat orang Asli yang menyokong Pakatan Harapan.

Masyarakat Orang Asli boleh menolak Pakatan Harapan (PH) jika gagal membawa pembangunan seperti dijanjikan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sudah tiba masa Orang Asli menyokong PH demi pembangunan yang lebih baik.

“Orang Asli sampai masanya sokong kerajaan sekarang, kerajaan PH. Beri peluang kepada kami.

“Kalau tidak puas hati, tendang kami keluar. Berikan kami peluang untuk melakukan pembangunan lebih bermakna.

“Kita mahu lihat pembangunan yang bermakna dan berlaku sepanjang masa.

“Sokonglah PH demi pembangunan yang lebih bermakna, mapan dan berlaku sepanjang masa,” ujarnya dalam ceramah di Felda Sungai Koyan 1 hari ini.

Berucap pada hari terakhir kempen PRK Cameron Highlands, Menteri Kewangan itu berkata, Orang Asli merupakan masyarakat yang setia kepada kerajaan.

“Kerajaan sudah berubah. Kalau dulu BN, rakyat Malaysia sudah tendang dan pilih PH sebagai kerajaan.

“Kali ini masyarakat Orang Asli mesti setia kepada kerajaan PH.

“Kemenangan esok kemenangan untuk PH, Cameron Highlands dan kerajaan yang bermaruah,” tegas Guan Eng lagi.

Barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang hadir  dalam ceramah perdana pada hari terakhir kempen di Felda Sungai Koyan 1 hari ini.