Malaysia Dateline

Kalau tidak tahu jalan tugas, baik berhenti, kata PH

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan meminta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melepaskan jawatan jika berterusan tidak mampu menentukan hala tuju institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta.

Menurut Jawatankuasa Pendidikan ini, kementerian yang penting ini wajar diberikan kepada mereka yang layak dan lebih memahami hala tuju dan masa depan Institusi Pengajian Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Swasta (IPTS).

Ini berikutan, menteri terbabit belum melakukan lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan naib canselor di lima buah universiti awam negara yang kosong sejak awal tahun.

Dalam kenyataan bersama lima ahli jawatankuasa ini turut mencadangkan agar menteri berkenaan menubuhkan segera Majlis Pendidikan Tinggi untuk mengendalikan keadaan pendidikan tinggi berdasarkan Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546).

Kewujudan Majlis ini, katanya akan memberikan ruang untuk kementerian menentukan halat tuju oleh golongan professional dan meminimumkan kesan politik terhadap perjalanan dan masa depan pendidikan tinggi negara.

“Ia juga mampu untuk membendung apa jua kelemahan kepimpinan dari pihak eksekutif,” katanya.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pendidikan PH juga bersetuju dengan pandangan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd Nordin bahawa kelewatan kerajaan membuat lantikan baharu untuk mengisi kekosongan jawatan terbabit boleh menjejaskan operasi pentadbiran sekali gus menjejaskan hala tuju universiti tersebut bagi melaksanakan visi dan misi universiti masing-masing.

Lima universiti awam tersebut ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bagi UPSI, tarikh kekosongan jawatan Naib Canselornya ialah semenjak 7 Feb 21; bagi UiTM pula ialah semenjak 10 Mac; manakala UniMAP pula ialah 27 Mac; dan UMT ialah pada 12 April. Bagi UPM ianya lebih menarik kerana Naib Canselornya telah diarahkan bercuti mulai 18 Februari yang sepatutnya pada tempoh asalnya ialah sebulan sahaja, tetapi telah disambung tanpa had sehingga kini.

Walaupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan alasan bahawa proses yang teliti dan professional menyebabkan kelewatan, malangnya kata PH ianya tidak berlaku sebelum ini kepada penggantian Naib Canselor di beberapa universiti sebelum ini yang telah berlangsung dengan kadar segera tanpa kelewatan melampau.

“Ternyata alasan yang dikemukakan hanya merupakan helah dengan berselindung di sebalik SOP yang ada.

“YB Menteri Pengajian Tinggi harus mengambil tanggungjawab penuh kegagalan ini kerana Jadual Pertama Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) yang menjadi sebahagian peruntukan Perlembagaan Universiti menerusi lunas Seksyen 8(1), Akta 30 memberi kuasa penuh kepada Menteri untuk melantik Naib Canselor. Kuasa yang sama juga telah diberikan oleh Seksyen 20 Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) kepada Menteri untuk melantik Naib Canselor UiTM,” ujarnya.

Sebelum ini, Cuepacs menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar segera membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan naib canselor di lima buah universiti awam negara yang kosong sejak awal tahun.