Malaysia Dateline

Kalau Tok Janggut boleh, zaman FB lagi boleh tumbangkan BN

Pengerusi AMANAH Pahang, Dr Hamzah Jaafar berpendapat usaha untuk menumbangkan rejim Umno-BN yang mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) wajar lebih mudah dalam zaman Facebook pada masa ini.

Katanya, tindakan penjajah British 100 tahun lalu menaikkan pelbagai jenis cukai kemudiannya berjaya mengundang kebangkitan rakyat untuk menentang British.

“Kalau dilihat sejarah pada 1915, Tok Janggut telah pun bermesyuarat dan meminta masyarakat bangkit menentang kerajaan British yang telah pun menaikkan cukai.

“Antaranya, 3 sen untuk satu pohon buah-buahan, 5 sen untuk satu bakul sirih, 3 sen untuk setandan kelapa, 20 sen untuk seekor kerbau atau lembu dan 60 sen untuk satu ekar tanah.

“Tok Janggut yang berpusat di Pasir Puteh tidak puas hati dengan kenaikan cukai itu, lalu rakyat diajak melakukan penentangan pada April 1915,” jelasnya pada Konvensyen Pakatan Harapan Pahang hari ini.

Beliau menyifatkan Umno seterusnya mewarisi perangai British apabila satu abad selepas itu mengenakan pula cukai GST enam peratus mulai April 2015.

“Kalau Tok Janggut zamannya itu tidak ada Facebook, blog boleh mengajak rakyat bangkit menumbangkan British, zaman kita ada Facebook, blog takkan tidak boleh mengajak rakyat menumbangkan BN,” tegasnya lagi.

Mengulas kedudukan Pahang yang tidak tersenarai antara negeri sasaran yang akan diperintah oleh Pakatan Harapan, beliau berkata, tidak mustahil negeri itu mengulangi rekod Perak pada Pilihan Raya Umum 2008.

“Biar kita tidak dinamakan sebagai negeri yang mungkin tidak ditadbir Pakatan Harapan, kita tenang bekerja dan bersatu. Perak tahun 2008 tidak pernah terfikir pun bahawa Pakatan Rakyat akan menang, tiba-tiba Pakatan Rakyat menang.

“Tidak mustahil walaupun Pahang tidak dinamakan sebagai negeri yang Pakatan Harapan akan menang, kemungkinan besar kita akan mencapai kemenangan.

“Tetapi kemenangan ini saya yakin berpunca daripada satu iaitu jika kita mengukuhkan hubungan antara anggota Pakatan Harapan,” tambah Dr Hamzah lagi.

Konvensyen Pakatan Harapan Pahang hari ini juga menyaksikan pimpinan negeri keempat-empat anggota iaitu AMANAH, Bersatu, PKR dan DAP menandatangani Ikrar Tawan Pahang.