Malaysia Dateline

Kalaulah Anwar sekarang PM…

Hanya dalam tempoh lebih 100 hari memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dirakam dan dikenali kerana kegagalan berbanding kejayaan yang boleh dikenang.

Banjir yang berlaku, khususnya di Selangor, lebih menyerlah hakikat ketidakmampuannya sebagai pemimpin dalam mengurus negara sebagai Perdana Menteri.

Ketika ini, selain termenjadinya beliau sebagai Perdana Menteri mula disesali, ramai yang lain pula tanpa sembunyi meluahkan rasa meluat dan menyampah dengan kepimpinannya yang gagal itu.

Selain beliau sendiri dikategorikan gagal teruk, Ismail Sabri juga dilihat tidak berupaya membetulkan perangai menteri-menterinya yang lemah dan tidak tahu bekerja.

Jika kita rajin mendengar perbualan golongan profesional dan ahli perniagaan di kafe-kafe sambil menikmati secawan kopi di sekitar ibu negara atau kita sendiri berkesempatan berbual-bual dengan mereka, rata-rata mereka begitu kecewa serta menolak kepimpinan Ismail Sabri.

Kata mereka, sudahlah mengurus ekonomi dan merangsang negara untuk mahu ke hadapan seperti tidak ketahuan, lebih malang lagi menangani banjir melalui Kabinetnya yang besar pun tiada kemampuan.

Yang lain pula mencelah, itu baru berdepan dengan banjir yang biasa berlaku pada setiap tahun, belum lagi jika berlaku perang dengan negara lain atau lain-lain konflik yang lebih berat.

Bersama pelbagai luahan rasa kekecewaan itu, sebahagiannya tanpa berselindung berkata, kalaulah ketika ini Anwar Ibrahim yang menjadi Perdana Menteri, pasti keadaan seburuk ini tidak dialami oleh negara kita atau dapat dielakkan.

Dengan Anwar selalu melahirkan idea yang segar untuk negara, berani serta pantas memberi reaksi terhadap sesuatu isu, suaranya tidak pernah diam, terutama di Parlimen, selain staminanya begitu gagah, bahkan terlihat lebih bertenaga berbanding Ismail Sabri, di samping kepimpinan yang menyerlah, beliau amat diyakini mampu mengurus negara ini dengan lebih baik ketika berlakunya krisis seperti sekarang ini.

Dalam suasana kritikal, selepas Covid-19 dan kini dibebani dengan banjir, kepimpinan yang segar dan tangkas seperti yang ada pada Anwar adalah penawar yang sebenar.

Jika Anwar menjadi “panglima perang” menerajui negara ketika banjir ini, kita mungkin tidak akan mendengar rungutan tentang kelemahan NADMA atau Agensi Pengurusan Bencana Alam yang lambat bertindak di bawah pengawasan menteri lantikan Ismail Sabri sendiri.

Pasti Anwar akan bertindak lebih pantas membetulkan keadaan atau setidak-tidaknya memberi teguran yang keras kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap NADMA.

Pada era PH berkuasa sebelum ini dan berlaku tragedi pencemaran udara di Pasir Gudang pada 2019, NADMA yang ketika itu di bawah pengawasan Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri, telah terbukti bertindak dengan berkesan dan akhirnya berjaya melindungi keselamatan rakyat.

Itu baru NADMA di bawah jagaan Dr. Wan Azizah, bayangkan jika di dalam genggaman pengawasan suaminya, Anwar.

Jika Anwar menjadi Perdana Menteri ketika ini, menteri yang hanya tahu mencuci tahi cicak serta selayaknya dibayar gaji minimum RM1,200 sebulan saja, kalau pun tidak dipaksa meletak jawatan, sudah tentu akan ‘disembur’ dengan peringatan yang menjadikannya lebih berhati-hati pada masa depan.

Begitu juga dengan menteri-menteri yang suka bercuti ke luar negara, tanpa mengambil kira banjir sedang melanda, kalaulah Anwar jadi Perdana Menteri, di samping mungkin mengarahkan mereka pulang dengan segera beserta amaran dan suara yang lebih tegas, tidak mustahil beliau juga akan bertindak membeku atau memansuhkan percutian ke luar negara bagi menteri-menteri untuk suatu tempoh tertentu sehingga keadaan ekonomi negara dipulihkan sepenuhnya.

Seandainya Anwar jadi Perdana Menteri juga ketika ini, pasti bukan sekadar RM1,000 bantuan yang diterima oleh mangsa banjir yang rumah mereka tenggelam dan perabot serta peralatan musnah semuanya itu.

Sebagaimana semalam, beliau mencadangkan agar Ismail Sabri menangguhkan projek-projek mega dan menggunakan peruntukan itu untuk memberi bantuan kewangan lebih besar kepada mangsa banjir, dengan kuasa di tangannya, kalau pun tidak RM10,000, rasa-rasanya RM5,000 akan diberikan Anwar kepada setiap mereka jika kuasa Perdana Menteri ada dalam tangannya.

Itulah Anwar, beliau sentiasa dikenali sebagai pemimpin yang lebih mengutamakan rakyat dan rekodnya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum ini adalah bukti nyata bagi mereka yang mahu berfikir dan menerima realiti.

Sekarang pun, dengan kuasa dan kemampuan kewangan yang terhad yang dimilikinya, sekadar sebagai Ketua Pembangkang saja, lihatlah juga bagaimana beliau sentiasa muncul atau bersuara dalam apa jua tragedi yang menimpa rakyat dan negara.

Anwar adalah kerinduan sebenar rakyat yang dahagakan pembelaan, terutama di ketika Ismail Sabri dilihat semakin tidak bermaya dan hilang punca memimpin negara ini.