Malaysia Dateline

Kamal ‘meletup’ selepas jumpa Anwar

Nama Kamal yang merujuk kepada aktor tersohor India, Kamal Haasan muncul ‘meletup’ atau trending di Twitter dengan lebih 30,000 ciapan setakat jam 8 malam tadi.

Seniman berusia 68 tahun yang juga pengasas parti politik, Makkal Needhi Maiam atau Pusat Keadilan Rakyat itu dilihat mencuri perhatian rakyat Malaysia susulan pertemuannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Ketua Pembangkang itu berkongsi di media sosialnya detik pertemuan mesra dengan seniman terbabit di satu lokasi yang tidak didedahkan di ibu negara.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson tersebut, mereka mengadakan diskusi yang panjang terutama mengenai sejarah India dan persoalan tatakelola yang baik, serta ketegasan terhadap rasuah.

“Saya akan hadir ke majlis tayangan premier filem terbarunya ‘Vikram’ pada 3 Jun ini di ibu negara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook dan Instagramnya.

Kamal yang telah memegang watak dalam lebih 230 filem Tamil, Telugu, Malayalam, Hindi, Kannada, and Bengali itu tiba di Kuala Lumpur bagi mempromosikan karya arahan Lokesh Kanagaraj.

Pelakon yang terkenal dengan sifat dermawan termasuk mengumpul dana untuk rumah anak yatim kanak-kanak yang terjejas HIV/Aids itu dijadualkan akan berlepas ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Hyderabad di Selatan India untuk tujuan sama.

Rata-rata komentar menyukai pertemuan kedua-dua tokoh itu selain memuji penampilan Kamal yang nampak lebih muda berbanding usia sebenar.

“Artis dan pelakon hebat macam Kamal pun nak tumpas rasuah, sokong inisiatif DSAI. Masyarakat Tamil dan Melayu telah hidup bersama selama berabad-abad.

“Perbezaan budaya adalah untuk bekerjasama, bukan untuk bergaduh,” tulis Abd Rahman AGaffoor.

Anwar dan Kamal berbual menjelang tayangan 8216Vikram8217 awal Jun ini

Baca juga Husam jumpa Anwar lebih satu jam: Sayuti timbulkan spekulasi baru

Baca juga Terlalu obses, bapa letak nama anak dengan watak anime