Malaysia Dateline

Kamarul: Nostalgik RM12 juta kepada RM1 juta

Susulan arahan Mahkamah Tinggi Malaya yang mengeluarkan perintah bahawa saman Dr Kamarul Zaman Yusoff untuk meneruskan kes saman fitnah ke atas Malaysia Dateline dan Arif Atan di Mahkamah Sesyen bermakna jumlah gantirugi yang boleh dituntut olehnya turun dengan mendadak.

Pada peringkat awal kes tersebut difailkan ternyata Kamarul telah menuntut sebanyak RM12 juta sebagai pampasan gantirugi jika dakwaan fitnah itu benar-benar terbukti.

Namun, pada 29 Mac lalu, Hakim telah membenarkan supaya tuntutan RM12 juta itu dibatalkan kerana dalam hal saman gantirugi fitnah jumlah tersebut adalah sepatutnya ditetapkan oleh Mahkamah setelah ianya ditaksirkan.

Hakim memutuskan tindakan Kamarul meletakkan jumlah tuntutan RM12 juta itu adalah bertentangan dengan undang-undang.

Malang juga selepas itu, Mahkamah juga mengarahkan Kamarul untuk membayar kos sebanyak RM3,000 kepada Malaysia Dateline dan RM3,000 kepada Arif Atan yang mana jumlah itu masih lagi belum dibayar oleh Kamarul.

Bidangkuasa Mahkamah Sesyen sebagaimana yang dipaparkan di portal kehakiman menyatakan bahawa bidangkuasa sivil Mahkamah Sesyen adalah untuk mendengar tuntutan hinggalah RM1 juta.

Ini bermakna jikalau terbukti benar Malaysia Dateline telah berbuat fitnah terhadap Kamarul, jumlah maksima gantirugi yang boleh diperolehi olehnya adalah RM1 juta.

Namun, ini adalah jumlah maksima dan kemungkinan besar bukanlah jumlah itu yang boleh diperolehi olehnya. Kemungkinan juga jumlah gantirugi itu hanyalah beberapa ribu ringgit sahaja bergantung kepada budi-bicara Mahkamah.

Apa yang agak janggal adalah bagaimana peguam Kamarul sendiri boleh memohon secara lisan supaya kes ini dibicarakan di Mahkamah Sesyen yang pastinya memberikan kesan besar kepada jumlah gantirugi yang diterima Kamarul.

Peguam Kamarul langsung tidak berhujah dengan Hakim bahawa Kamarul menuntut gantirugi sebanyak RM12 juta seolah-olah peguam Kamarul sendiri pun tahu bahawa jumlah gantirugi yang dituntut itu tidak akan berjaya diperolehi oleh Kamarul.

Peguam Kamarul hanya membangkitkan isu bahawa kes ini telah berada di peringkat akhir untuk dibicarakan (advanced stage) tetapi gagal untuk berhujah lanjut mengenai tuntutan RM12 juta.

Persoalannya, apa sudah jadi dengan tuntutan RM12 juta yang dibuat olehnya itu? Adakah Kamarul sudah mengaku kalah awal dengan tuntutan RM12 juta dan hanya berpada dengan jumlah tuntutan yang tidak melebihi RM1 juta atau jumlah yang kurang daripada itu?

Adakah tuntutan RM12 juta sebelum ini hanyalah ‘propa’ Kamarul sahaja? Adakah sebelum ini maruah kerana difitnah yang dinilaikannya berjumlah RM12 juta jatuh mendadak menjadi RM1 juta atau jumlah lebih rendah?

Atau, apakah Kamarul tidak dinasihati dengan betul oleh peguam lantikannya? Hanya Kamarul sahaja yang boleh menjawab persoalan-persoalan ini. Kita harapkan Kamarul tidak akan bernostalgik lagi dengan jumlah tuntutan RM12 juta yang dibuatnya sebelum ini.

Sama-samalah kita nantikan prosiding di Mahkamah Sesyen sama ada tuntutan fitnah oleh Kamarul ini benar-benar berlaku atau Malaysia Dateline hanya menjalankan tugasan sebagai wartawan untuk melaporkan berita politik semasa di tanah air tanpa double standard.

Kamarul diwakili oleh peguam Mohd Harris Mohan Abdullah dan defendan-defendan diwakili oleh Dr Zulqarnain Lukman.