Malaysia Dateline

Kamera tersembunyi dalam bilik persalinan, mangsa dedah lokasi kejadian

Tular video memaparkan rakaman daripada kamera tersembunyi di dalam bilik persalinan di sebuah pusat membeli belah.

Rakaman itu bukan sekadar mangsa menukar baju malah ada pasangan yang kantoi melakukan perbuatan yang tidak senonoh.

Seorang wanita telah menghantar pesanan kepada pemilik akaun Twitter @meleisgw dan mengaku dirinya salah seorang daripada mangsa dalam video tersebut.

Dia memaklumkan bahawa kedai tersebut adalah kedai pakaian H&M yang terletak di Avenue K, bilik yang terakam adalah bilik paling hujung disebelah kiri.

Pihak khidmat pelanggan H&M sendiri sudah memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat pihak mereka.

“Hai! Keselamatan pelanggan kami adalah amat penting bagi kami. Laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

“Kami telah menjalankan pemeriksaan ke atas semua bilik pemasangan dan sedang berusaha untuk memastikan tiada pelanggaran keselamatan yang akan menjejaskan privasi pelanggan kami,” ujar mesej yang dihantar kepada pemilik Twitter itu.

Pada masa sama, polis dikatakan telah menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada jam 4.38 Isnin lalu lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, perbuatan tersebut merupakan kesalahan bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Baca juga: Warganet ungkit isu konsert Jay Chou, anggap Malaysia layak kalah akibat sikap penyokong tidak matang?