Malaysia Dateline

Kami belum jumpa petunjuk PN boleh menang PRN Melaka, kata penyelidik

Sehingga semalam, masih tiada sebarang petunjuk bahawa Perikatan Nasional (PN) berpotensi untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Bahkan katanya, jika senario tidak banyak berubah dalam tempoh berkempen tiga hari ini, PN berisiko menerima tamparan yang menyakitkan pada hari pengundian nanti.

Menurutnya juga, sehingga kini kempen PN masih belum berjaya mencipta faktor ‘wow’ dalam kalangan pengundi yang memungkin mereka menjadi pilihan berbanding BN dan PH.

“Namun tempoh kempen masih berbaki. PN masih mempunyai cukup masa untuk mengubah tempo kempen sekali gus mencipta faktor wow yang dimaksudkan.

“Menyertai PRN Melaka sebagai ‘underdog’, pada pandangan saya adalah ‘nothing to lose’ kepada PN untuk membuat eksperimen politik bagi menarik sokongan pengundi.

“Barangkali antara yang boleh dilakukan adalah mengumumkan segera Mas Ermieyati sebagai calon KM jika itu memang ada dalam perancangan PN,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Sementara itu Yusri berkata, penerimaan pengundi terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sememangnya agak baik di Melaka dan petunjuk itu memang ada di lapangan sepanjang tempoh berkempen.

“Atas sebab itulah, PN menggunakan sepenuhnya imej Mahiaddin sebagai bahan kempen dengan poster beliau dipamerkan secara meluas khususnya di kawasan pengundi Melayu,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, dengan mengambil kira komposisi pengundi wanita melebihi lelaki di Melaka, mengumumkan Mas Ermieyati sebagai bakal Ketua Menteri juga berpotensi menarik perhatian pengundi ‘gender’ tersebut untuk memberi undi kepada PN.

Pengumuman itu katanya, berpotensi meningkatkan sedikit peluang untuk Mas menyaingi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof di Tanjung Bidara yang merupakan antara kerusi selamat BN.