Malaysia Dateline

Kami dalam PH tiada sesuatu yang mengelirukan,kata Muhyiddin

“Saya tak fikir kita keliru,bagi sesetengah pihak tidak faham dan sengaja nak kelirukan orang, tapi bagi kami dalam Pakatan Harapan, tidak ada sesuatu yang mengelirukan,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Demikian respon Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjawab tohmahan pimpinan Umno terhadap pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam barisan tertinggi Pakatan Harapan itu.

“Setiap jawatan ada fungsi, bukan kata siapa ketua. Walaupun nama-nama disebutkan sebagai ketua umum, penasihat, pengerusi, presiden…kami yang telah memutuskan perkara itu tidak langsung terkeliru kerana tanggungjawab itu agak jelas,” ujarnya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata Pakatan Harapan akan merujuk draf perlembagaan yang telah diputuskan  oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan yang  mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing dikalangan pimpinan,

Ditanya mengenai kedudukan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang tidak diletakkan sebagai pimpinan utama dalam struktur tersebut, Muhyiddin berpandangan, barisan kepimpinan yang dibentuk Khamis lalu, bersandarkan kepada cadangan daripada parti gabungan itu sendiri.

“Yang dicadangkan  untuk berada dalam Majlis Presiden dan kemudiannya disenaraikan pemimpin yang diumumkan. Itulah yang diputuskan. Semua cadangan yang datang dari setiap parti diterima 100%,” ujarnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik  Ketua Umum, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi, dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.Manakala tiga timbalan presiden diwakili Muhyiddin (Bersatu), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).

Turut hadir dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat mingguan parti itu  hari ini  ialah Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Penerangan Datuk Kamarudin Md Nor.