Usahawan, Noor Nabila sekali lagi tampil untuk menjawab spekulasi orang ramai mengenai statusnya dengan bekas suami iaitu Sharnaaz Ahmad selepas dikhabarkan bercuti bersama dengan anak mereka di luar negara.
Pemilik nama sebenar Noor Nabila Mohd Noor itu tampil bersuara menerusi hantaran dikongsi di Instagram Story yang menegaskan bahawa percutian tersebut bukanlah bermaksud mereka berdua kembali rujuk.
Sebaliknya, usahawan berusia 40 tahun itu menjelaskan bahawa percutian mereka turut dihadiri individu lain dan bukanlah hanya bertiga seperti didakwa oleh segelintir pengguna media sosial.
Kakak kepada selebriti terkenal iaitu Noor Neelofa itu juga sempat memberikan peringatan kepada orang ramai agar tidak terlalu cepat membuat spekulasi atau menghakimi seseorang tanpa mengetahui situasi sebenar.
Difahamkan, Noor Nabila membuat perkongsian tersebut untuk mengulas laporan media berhubung luahan kekesalannya sebelum ini terhadap segelintir pihak yang mendakwa konon dirinya dan Sharnaaz kembali rujuk.
“Kami bawa anak bercuti bersama. Kita ini datang bercuti lima orang. Duduk serumah, bukan sebilik. Jadi tolonglah jangan nak menghakimi sangat. Jadilah netizen yang bijak, berpelajaran dan bertamadun,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, Noor Nabila juga tidak lupa untuk menasihati orang ramai supaya tidak terlalu sibuk menjaga tepi kain orang lain dengan mencampuri urusan peribadinya.
Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik di platform Instagram, bekas pasangan suami isteri terbabit sedang menikmati percutian musim sejuk bersama anak mereka iaitu Jebat Jayden dan individu lain di Perancis.

“Netizen jangan nak tentukan masa depan orang. Elok itu, elok ini. Kalau kamu semua tahu sangat mengenai masa depan, lebih baik atur hidup sendiri itu. Bukannya malah menentukan hidup orang lain.” Kesalnya.
Sekadar info, Noor Nabila dan Sharnaaz Ahmad pernah mendirikan rumah tangga pada Mac 2017 lalu sebelum disahkan bercerai secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Julai 2020.
Hasil perkongsian hidup selama tiga tahun, pasangan itu dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki dikenali sebagai Jebat Jayden yang kini berusia tujuh tahun.
Baca juga: Konon bertahan sebab kabel kuat, Zazzleen lega CSOIAM berakhir