Malaysia Dateline

‘Kami di CAC rasanya sudah mengalahkan JKM’

Saya cuba bercerita kisah yang menceriakan kami di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC). Tapi, bukan tiada kisah sedih yang menjentik hati atau memberi pengajaran. Ada, hampir setiap hari.

Semalam, ada pesakit sampai ke CAC dah lewat petang. Siap dengan beg. Memang ada simptom tapi ringan. Lepas diperiksa, dia dibenarkan pulang.

Tapi, “Bos, ayah dia dah halau dia dari rumah, macamana?”

MO saya consult saya, garu kepala dia. Fikir punya fikir, kami masukkan namanya untuk katil di Pusat Kuarantin. Tapi katil sudah penuh di sana.

Kami hubungi Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), minta keutamaan bagi pesakit ini, setelah beberapa arrangement dibuat, akhirnya dapatlah katil untuk dia.

Baru saya boleh balik senang hati. Masa itu dah nak masuk Maghrib. Takkan kami nak balik tinggalkan dia di CAC.

Kisah kedua lagi sedih. Seorang nenek tua datang dengan cucu. Kedua-dua positif Covid-19. Nenek bercakap macam mengah sedikit. Cucu dalam keadaan baik. Apabila kami buat penilaian keseluruhan, SpO2 nya cantik, 97 peratus.

Tapi disebabkan umurnya yang lanjut, kami nak rujuk kepada pihak hospital tapi hospital pula tidak boleh terima dia, kalau bersama cucunya. Dan kalau dia di hospital, siapa nak jaga cucunya.

Emak kanak-kanak itu di Singapura, tidak boleh balik. Tiada orang yang sanggup jaga budak yang positif Covid-19.

Nak tak nak, terpaksalah kami lepaskan nenek balik dengan cucunya kuarantin di rumah. Hari-hari kami call nak pastikan dia ok. Setakat ini, Alhamdulillah, harap-harapnya sihat sehingga tamat kuarantin.

Selalu juga kami dapat kes yang semacam kes ketiga. Datang CAC naik Grab sebab katanya tiada kenderaan. Agaknya pemandu Grab tak perasan yang mereka positif Covid-19.

Apabila nak balik, mereka akan mengadu kepada petugas. “Puas kami call KKM, ambulans semua tidak jawab panggilan, nak minta dihantar ke sini. Jadi, sekarang macamana kami mahu pulang?”

Tepuk dahi.

“Puan tak boleh nak harap KKM ambik puan dan hantar puan balik. Ambulans kami macam lipas sekarang.

“Pergi, balik hantar pesakit yang teruk-teruk ke hospital…”

“Jadi, macamana kami mahu pulang?”

Ini yang buat saya pun nak menangis.

Kasihanlah kami. Banyak perkara kami kena uruskan. Jangan ingat kerja di CAC ini setakat nak nilai orang itu kena refer ke hospital atau kuarantin di rumah saja.

Kami di CAC ini sudah mengalahkan JKM rasanya. Hatta, pesakit nak balik pun kami kena fikirkan.

Memang kita semua kena banyak bersyukur. Bersyukur kerana masih sihat. Bersyukur kerana Allah beri kesempatan untuk bantu mana yang boleh.

*DR SAKINAH SULONG merupakan pakar perubatan keluarga.