Malaysia Dateline

‘Kami gembira bila nampak YB turun”

Dzulkefly ketika program ‘Info On Wheels’ di pasar tani Taman Nusantara.

Rahmah Rahmat

“Kami gembira bila nampak YB turun bertemu dengan kami,” begitulah suara hati seorang peniaga Rahmah Rahmat, 59, di pasar tani Taman Nusantara, Gelang Patah Johor bila melihat kelibat Adun Kota Iskandar, Sr Dzulkefly Ahmad yang bertemu mereka.

Menurutnya, sebagai seorang wakil rakyat, sudah menjadi tugas mereka untuk sentiasa tampil di khalayak ramai supaya mampu mendengar permasalahan orang ramai.

Katanya lagi, kegembiraan tidak dapat digambarkan apabila kelibat wakil rakyat mereka bersama rombongan Jabatan Penerangan Malaysia ke tapak pasar tani berkenaan bagi program ‘Info On Wheels’.

“Alhamdulillah, YB datang dan saya rasa berbangga serta berterima kasih dengan kunjungan YB ke tapak pasar tani ini.

“Penerangan pelbagai isu dari khemah ke khemah gerai seperti ini mampu untuk menidakkan berita palsu yang sentiasa tersebar di laman media masa.

“Kempen tahap kesihatan yang membabitkan orang awam ini perlu dijalankan sebanyak mungkin agar kami semua sebagai peniaga telah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang berlaku,” katanya.

Kamarul Azmi Abdul Rahman

Pada masa sama, menurut pengunjung Kamarul Azmi Abdul Rahman, 40, aktiviti dan program seperti ini amat baik untuk diteruskan agar dapat membunuh persepsi salah terhadap pelbagai isu.

Menurutnya lagi, selain itu pengunjung, peniaga dan orang ramai akan dapat secara langsung bertemu dan beramah mesra dengan wakil rakyat mereka.

“Aktiviti sebegini adalah salah satu penerangan mudah yang dijalankan ini adalah salah satu tugas mendekati masyarakat secara langsung dengan lebih dekat lagi tanpa sempadan.

“Pemimpin harus mengetepikan segala protokol dan kalau mengikut saya pun, saya lebih senang untuk berurusan sebegini berbanding keadaan yang meletakkan segala protokol.

“Acara santai sebegini akan memperlihatkan pemimpin itu lebih mesra untuk didekati berbanding majlis-majlis yang mengenakan protokol,” katanya.