Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim mengumumkan bakal memberikan bantuan kredit e-tunai kepada golongan belia di bawah inisiatif ‘Belia Rahmah’.
Bantuan tersebut bakal disalurkan kepada belia yang berumur 18 hingga 20 tahun dalam bentuk bayaran tanpa tunai sebanyak RM200.
Dianggarkan sebanyak dua juta belia di negara ini bakal menerima manfaat dalam bantuan yang menelan belanja berjumlah RM400 juta itu.
Perkara tersebut diumumkan oleh Anwar yang juga Perdana Menteri Malaysia dalam Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.
Manfaat tersebut dipercayai mampu meringankan beban kos sara hidup terutama bagi golongan yang tidak berkemampuan.
Namun begitu, belia khususnya penuntut universiti yang berumur lebih dari 21 tahun tertanya-tanya adakah mereka tidak layak menerima sebarang bantuan.
Umum mengetahui, ramai pelajar universiti di Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang turut memerlukan bantuan bagi menjalani kehidupan mereka.
Oleh yang demikian, rata-rata pengguna media sosial di aplikasi Twitter mula bertanya dan berharap agar kelayakan umur bagi Belia Rahmah dinaikkan.
“Yb (Yang Berhormat), Kami yang berumur lebih 21 masih belia. Tolong minta untuk ‘extend’kan (naikkan) peringkat umur untuk (kelayakan) e-wallet.
“Umur 24 pun masih bergelar pelajar universiti. Tolong kami untuk meringankan beban,” kata pengguna bernama @ansarshah403.
“Student umur 20 ke atas tak dapat ke?,” soal pengguna lain selepas bantuan kredit e-tunai Belia Rahmah diwar-warkan.
Baca juga: PM Anwar umum diskaun PTPTN capai 20%, peminjam juga boleh pohon penangguhan sehingga enam bulan