Malaysia Dateline

Kami juga mahu tahu dalang pembunuhan Altantuya

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin percaya rakyat negara ini juga tertunggu-tunggu siapa dalang di sebalik pembunuhan kejam ke atas warga Mongolia, Altantuya Shaarriibuu.

Katanya, desakan bapa mangsa Dr Shaarriibuu Steve yang ingin tahu siapa dalangnya pemunuhan sebenar juga menjadi desakan rakyat negara ini.

“Kini apabila media lapor bapa Altantuya mahu tahu siapa dalang di sebalik pembunuhan anak beliau, kenapa simati diarahkan untuk dibunuh saya rasa itu bukan sahaja “request” bapa simati , ia juga “request” dari majoriti rakyat Malaysia,”katanya kepada Malaysia Dateline.

“Bagi saya tanpa diketahui dalangnya tidak akan ada penutupan tragedi yang betul. Orang yang tak mahu tahu dalangnya, dia punya fasal lah,”katanya kepada Malaysia Dateline.

Menurut Hanipa, isu pembunuhan warga Mongolia menjadi topik hangat waktu pilihan raya kecil di sebuah negeri di utara bagaimanapun pihak polis tidak membenarkan mana-mana parti menyentuh isu itu sewaktu berkempen.

“Beberapa tahun yang lalu ( ketika saya masih dengan parti suci ), masa itu waktu berkempen PRK di sebuah negeri di utara. Ketika nak mulakan ceramah, saya diberitahu oleh penganjur, pihak polis tak bagi izin sentuh isu pembunuhan Altantuya. Masa itu saya bercermah dengan seorang lagi agamawan parti suci. Setakat yang saya ingat agamawan itu langsung tak sentuh isu Altantuya.

“Saya ni degil sikit. Bila orang tak bagi buat , itu yang saya biasanya akan buat. Jadi bila dapat mikrofon saya pun kata ” tuan puan, saya diarahkan untuk tidak bercakap isu Altantuya, tapi saya nak mulakan ceramah malam ini dengan menyentuh isu Altantuya,” ujarnya.

Bahkan beliau pernah menegur seorang pemimpin kanan parti suci tentang isu Altantuya kerana beliau menulis satu artikel di media parti suci yang antara lain meminta mereka tidak seharusnya membesar-besarkan isu Altantuya.

“Saya marah dan ‘upset’ lalu tegur ” macam mana kita tak mahu besarkan isu Altantuya, sedangkan tragedi itu sendiri sudah sediakala besar dan mendapat liputan besar di media tempatan dan luar negara,” katanya.