Malaysia Dateline

Kami kalah pertempuran tetapi bukan perang, kata MP Sepang

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin bersikap terbuka dengan tindakan Ahli-ahli Parlimen yang tidak bangun berdiri bagi menyokong undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 semalam.

Menurutnya, biarpun Pakatan Harapan dan PH Plus gagal melakukan undi belah bahagi dan kalah dalam pertempuran, tetapi mereka akan memastikan rakyat akan memenangi ‘peperangan’ ini.

Katanya, dari segi prosedur Parlimen, penentuan kelulusan belanjawan hanyalah ketika bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021, dan ketika itu ianya bakal menjadi penentu.

“Sudah tentu, mereka rasa gembira bila melihat apa yang berlaku semalam di Parlimen. Apatah lagi para penyokong PH++ juga turut kecewa dan mengkritik pedas PH++.

“Ya, ramai yang kecewa. Saya tak mahu apologetik. Kami juga hakikatnya kecewa seperti anda semua

“Untuk kerajaan tebuk atap yang khianat, kami mungkin kalah pertempuran, tetapi kami dan rakyat akan memenangi perperangan ini,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.

Sementara itu Hanipa berkata, bagi 13 orang Ahli Parlimen yang berdiri menyokong undi belah bahagi semalam, mereka telah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan PH Plus.

Dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN) pula katanya, ahli-ahli Parlimen yang berdiri menerima pelbagai kecaman dan makian.

Bagaimanapun kata Hanipa, Anthony Loke (Ahli Parlimen Seremban) telah memberi sebab bahawa adanya saranan dari ketua pembangkang untuk tidak menyokong undi belah bahagi yang menyebabkan ahli-ahli Parlimen DAP mengikut saranan tersebut.

Hanipa juga percaya, Presiden parti, Mohamad Sabu tidak sempat menyalurkan saranan tersebut kepada ahli-ahli Parlimen AMANAH.

“Ya, Presiden dan Timbalan Presiden AMANAH walaupun berhasrat untuk bangun, membatalkan hasrat untuk bangun kerana menghormati saranan Ketua Pembangkang.

“Kami percaya, mungkin Presiden AMANAH tidak sempat atau terlepas pandang untuk salurkan saranan Ketua Pembangkang tersebut kepada Ahli Parlimen AMANAH.

“Oleh itu, kami yakin, tiada sebarang masalah untuk kami bangun menyokong Pokok Sena semalam. Tidak timbul sama sekali soal untuk jadi hero atau wira,” katanya lagi