“Kami kongsi jenis cinta berbeza”, akhirnya terbongkar punca Jovian Mandagie bercerai dengan anak Ismail Sabri

Oleh WAN SITI AMINAH

Tiada angin tiada ribut, pereka fesyen terkenal iaitu Jovian Mandagie mengejutkan ramai pihak setelah mengumumkan penceraiannya dengan isteri, Datin Nina Sabrina.

Menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya semalam, Jovian memaklumkan bahawa mereka berdua sebenarnya sudahpun berpisah semenjak bulan Ogos lalu.

Jelas Jovian, perpisahannya dengan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu berlaku secara baik dan mereka juga akan kekal sebagai sahabat.

Malah demi kebahagiaan puteri tunggal mereka iaitu Jeanelle Nika Mandagie, Jovian dan Nina bersetuju untuk sama-sama membesarkan anak yang berusia 6 tahun itu.

“Sesetengah perkahwinan menjadi istimewa kerana ia diciptakan untuk kekal seumur hidup. Tetapi perkahwinan kami pula istimewa kerana ia telah berkembang menjadi persahabatan yang akan kekal seumur hidup.

“Pada Ogos lalu, kami sama-sama telah bersetuju untuk menamatkan perkahwinan yang berusia 10 tahun ini di atas sebab-sebab tertentu yang kami percaya bahawa itu (bercerai) adalah (keputusan) terbaik.

“Kami dapati sebagai sahabat dan ibu bapa Jeanelle, kami berdua berkongsi rasa cinta berbeza yang harus kami hargai. Kebahagiaan Jeanelle kekal sebagai keutamaan dan setakat ini, kami telah lakukan yang terbaik,” katanya.

Yakin dengan perancangan Allah, Jovian juga mengakui bahawa perceraian tersebut langsung tidak menjejaskan hubungannya dengan keluarga Nina dan juga sebaliknya.

Ulas Jovian, khabar perceraian itu terpaksa dibongkarkan setelah melihat sokongan peminat yang suka melihat mereka sebagai suami isteri dalam satu siaran langsung di TikTok.

“Kami adakan sesi secara langsung di TikTok dan tersentuh dengan komen-komen mengenai rumah tangga kami. Jadi kami rasa adalah penting untuk berkongsi keadaan sebenar kepada anda semua.

“Meskipun berita ini tidak dijangka, tetapi percayalah kami dalam keadaan yang baik. Apa juga yang anda saksikan di media sosial sejak empat bulan lalu adalah benda yang nyata.

“Kami tidak mungkin akan membenci antara satu sama lain kerana telah berkongsi hidup selama hampir sedekad. Terima kasih untuk doa dan sokongan anda untuk babak baharu kehidupan kami ini.” Jelasnya.

Terdahulu, Jovian melangsungkan perkahwinan dengan Nina Sabrina yang juga kakak kepada penyanyi iaitu Dafi pada 11 Disember 2013 lalu di Muzium Diraja, Istana Negara Lama.

Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie yang kini berusia enam tahun.

Baca juga: Tak putus asa berniaga, Mila Jirin sasar bayar zakat RM1 juta