“Kami nak penonton enjoy the show”, ini respon pelakon lepas babak bercium dikritik hebat

Oleh WAN SITI AMINAH

Dunia hiburan baru-baru ini dikejutkan dengan penularan video yang memaparkan babak bercium antara pelakon, Daiyan Trisha dan Hun Haqeem.

Meskipun mereka menggunakan kain sebagai pelapik, namun adegan tersebut dilihat kurang manis dan langsung tidak sesuai untuk dipertontonkan oleh rakyat Malaysia.

Difahamkan, babak bercium itu disiarkan menerusi drama bersiri tempatan, W: Two World’s yang diadaptasi daripada karya terbitan Korea Selatan dengan tajuk sama.

Sehubungan dengan itu, salah seorang pelakon drama W: Two World’s iaitu Mierul Aiman tampil menjelaskan isu bercuim yang ditayangkan di dalam drama berkenaan.

Menurut Mierul, setiap adegan yang muncul di dalam drama tersebut harus melalui satu proses perbincangan terlebih dahulu sebelum ianya dilakukan, lapor Oh Bulan.

Oleh yang demikian, Mierul percaya bahawa pengarahnya iaitu Datuk Yusry Abdul Halim telah bersepakat dengan pelakon untuk menjayakan adegan bercium tersebut.

“Kami sebagai pelakon dalam drama ini dipandu melalui skrip dan juga arahan pengarah. Jadi setiap kali (sebelum melakonkan) babak, kami akan ada ‘table talk’.

“Kita akan melalui proses itu seperti mana babak tersebut (adegan cium) terjadi. Kami percaya ketika masuk ke set penggambaran, objektif pertama adalah untuk menceritakan apakah babak itu.

“Ianya perlu disampaikan dengan jelas kepada penonton. Mata penonton adalah mata pengarah. Saya percaya babak itu mereka ada table talk bersama dengan pengarah dan berbincang bagaimana untuk menjayakan lakonan,” jelasnya.

Pemilik nama sebenar Mohamad Amirul Aiman Norazam itu juga mengaku bahawa drama berkenaan telah melalui pelbagai lapisan dan ‘tapisan’ sebelum diterbitkan.

Di sebalik kontroversi babak bercium tersebut, pelakon berusia 25 tahun itu berharap agar matlamat utama penceritaan drama tersebut dapat difahami oleh penonton.

“Apa yang saya boleh komen adalah kami telah berusaha sedaya upaya untuk menceritakan objektif babak itu dan menyampaikan perasaan itu dengan tepat.

“Saya harap penjelasan babak pada naskah itu sampai kepada penonton. Kami nak penonton ‘enjoy the show’ dan sebagai pelakon kami pun nak tengok bagaimana babak-babak itu ‘dijahit’.” Katanya.

Baca juga: Lantang bersuara, Kaka Azraff tuntut penjelasan usai kontrak ditamatkan