Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran siasatan ke atas anak saudara beliau.
“Saya menyerahkan kepada SPRM untuk membuat siasatan dengan syarat ia dijalankan dengan telus dan profesional,” kata Azmin kepada media.
Katanya, tindakan yang dibuat itu seolah-olah satu ‘Showcase’ menjelang Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan minggu depan.
“Saya rasa ia cubaan untuk sabotaj kerajaan Selangor dan satu showcase sebelum Perhimpunan Agung Umno,” katanya.
SPRM kelmarin (29 November) menahan anak saudara Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan tiga individu lagi atas dakwaan terlibat dalam perlombongan pasir dan batu secara haram.
Ketiga-tiganya direman selama tujuh hari sehingga 6 Disember untuk membantu siasatan.
Siasatan SPRM menunjukkan syarikat perlombongan pasir itu didakwa merasuah pegawai kerajaan tempatan di Kajang – tempat syarikat itu beroperasi sejak 2014.
“Difahamkan pegawai itu didakwa dirasuah agar tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan itu,” kata NST Online.
Azmin mempertahankan aktiviti Kumpulan Semester Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri.
Katanya, Selangor berjaya membuat penjimatan sehingga RM400 juta tahun lalu kerana tender secara terbuka.
“Saya mengalu-alukan siasatan dengan syarat ia terbuka dan berintergriti,” kata Azmin.
Bagi beliau, tangkapan ini mempunyai unsur politik kerana blogger Umno telah menyiarkan maklumat ini.