Malaysia Dateline

“Kami sepatutnya jawab Undi18 di Parlimen bukan di balai polis”

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mendesak agar parlimen dibuka dengan segera kerana begitu banyak soalan akan diajukan kepada Menteri Undang-undang Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, soalan itu termasuklah berkenaan Undi 18 yang tidak dilaksanakan sebagaimana yang dijanjikan.

“Sudah sampai masanya untuk kami dibenarkan menjalankan tanggungjawab kami di parlimen.

“Kini kami ada banyak soalan kepada menteri terutama menteri undang-undang.

“Hari ini kita sepatutnya jawab di parlimen bukannya di balai polis,” kata beliau kepada media selepas dipanggil polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya parlimen sudah boleh dibuka memandangkan ahli Parlimen sudah menerima suntikan vaksin bahkan ramai juga dalam kalangan menteri boleh rentas negeri menghadiri majlis perkahwinan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik mengingatkan para pengundi muda untuk segera daftar pemilih.

“Bagaimana kerajaan yang ada cabuli hak demokrasi, nafi hak perlembagaan, pada PRU nanti andalah yang akan tentukan nasib mereka.

“Mereka tidak berhak terus memerintah,” katanya.

Beberapa individu telah dipanggil polis hari ini antaranya Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Pada 30 Mac lalu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad antara lapan individu dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan isu had umur kelayakan mengundi 18 tahun.