Kami seperti tiada wakil rakyat, kata penduduk Kg Laut kepada MB

Kami seperti tiada wakil rakyat, kata penduduk Kg Laut kepada MB

Insiden pengambilan kawasan penempatan penduduk Kampung Laut untuk projek tapak warisan tanpa sebarang makluman dan perundingan wajar menjadikan mereka terasa seperti hilang tempat mengadu dan bergantung.

“Selama ini kami bekerja keras malah ada yang bersabung nyawa untuk menangkan wakil rakyat dan parti supaya jadi pembela kami di kala kami dianiaya dan ditindas.

“Nasib kami sungguh sedih kerana ketika kami dipersiakan dan hak kami cuba diceroboh tiada mereka yang kami harapkan itu menjaga nasib kami,” kata wakil penduduk Haji Mohd Nordin Adam kepada Malaysia Dateline.

Kekecohan tercetus Isnin lalu ketika menteri besar dan pegawai-pegawai negeri bersetuju hadir ke majlis dialog berkaitan pengambilan tanah yang didiami penduduk di Kampung Laut untuk didirikan tapak warisan melalui satu projek di bawah pembangunan wilayah Timur (ECER)

Menurut Haji Nordin, apa yang dikesalkan ialah pemberitahuan tentang pengambilan tanah-tanah berkenaan langsung tidak diberitahu di peringkat awal.

“Semua termasuk MB datang memberitahu segalanya telah selesai dan rancangan ini telah digezetkan.

“Proses berikutnya hanyalah tarikh pengambilan dan perundingan tentang jumlah pampasan,” katanya.

Beliau selaku ketua Pas cawangan Kampung Laut mengingatkan bahawa semua orang dalam keadaan tekejut dan amat-amat sedih dengan situasi ini.

“Hasil usaha kami kampung ini terus kekal paling kuat Pas di Dun Pasir Pekan di mana dalam pilihan raya lalu Pas mendapat lebih 80 peratus sokongan di sini.

Tiba-tiba kami berhadapan dengan situasi seperti tiada wakil rakyat yang membela kami,” katanya.

Sebagai penyokong Pas kata Haji Nordin beliau selalu bergerak ke seluruh negara apabila ada rakyat dizalimi dan ditindas oleh pemerintah zalim Barisan Nasional.

“Saya pernah hadir demo di Johor, Pahang dan banyak kali di ibu negara untuk bersama rakyat tertindas apabila pemerintah sewenang-wenang merampas hak rakyat.

“Malang sungguh ia kini berlaku kepada kita sendiri dan mereka yang kita harap jadi pembela rupanya juga besedia dengan tindakan menzalimi rakyat,” katanya.

Beliau agak hairan kerana berdekatan tapak kawasan penempatan penduduk terdapat kawasan tanah milik keretapi (KTM) yang lebih luas daripada kawasan kediaman terbabit.

“Kami berharap pihak terlibat berunding dengan pihak KTM bagi mengelakkan berlaku reaksi di luar jangka daripada penduduk,” katanya.

Haji Nordin adalah aktivis Pas yang pernah memegang jawatan Timbalan (waktu itu disebut naib) Ketua Pas Kawasan Tumpat dan sehingga kini merupakan Pengerusi jawatankuasa pengelola Maahad An Nur yang diasaskan almarhum Ustaz Yahya Osman.