Malaysia Dateline

Kami tak mahu asrama pekerja asing di Teluk Kumbar diteruskan

Rancangan untuk membina asrama pekerja asing di Teluk Kumbar, Bayan Lepas, seharusnya tidak diteruskan dan patut dibatalkan. Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus menolak permohonan pembinaan tersebut. 

Adalah difahamkan setakat ini telah tiga kali bantahan secara aman dibuat oleh penduduk tempatan. Begitu juga beberapa memorandum. Bantahan turut diserahkan kepada kerajaan negeri bagi memastikan pembinaan asrama warga asing tersebut tidak menjadi realiti. 

Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz telah turun padang sejak awal bantahan penduduk serta membantu menyerahkan bantahan mereka kepada pemaju Zantalite Enterprise (M) Sdn Bhd dan juga kerajaan negeri di sidang Dewan Undangan Negeri serta pihak berkuasa yang terlibat, namun sehingga ini hasilnya masih kabur. 

“Sebagai Adun AMANAH yang dipertanggungjawabkan untuk menyuarakan suara rakyat, pelbagai tindakan dan usaha telah dilaksanakan bagi membantu penduduk terlibat. 

“Jika hasrat bantahan penduduk di Bertam, Kepala Batas agar pembinaan asrama pekerja asing di Taman Perindustrian yang berkeluasan 337 hektar boleh dibatalkan baru-baru ini, maka bantahan penduduk Teluk Kumbar hanyalah melibatkan keluasan lebih kecil sebesar 4.3 hektar sahaja dan wajar dibatalkan. 

“Di Bertam pula, tanahnya tidak melibatkan rizab pantai, tetapi di Teluk Kumbar kemungkinan besar rizab pantai turut dilibatkan sekaligus menjejaskan para nelayan,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua AMANAH kawasan Balik Pulau. 

Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz

Tambah Azrul, bagi kawasan Teluk Kumbar yang dibantah penduduk, sebahagian tanah kerajaan turut diberi milikan kepada syarikat terbabit, sedangkan tanah kerajaan adalah hak rakyat. 

Tegasnya, sekiranya pembinaan tersebut boleh dibatalkan di kawasan Parlimen Kepala Batas, apakah ianya tidak boleh dilaksanakan di Teluk Kumbar, Dun Bayan Lepas. 

Kata Azrul lagi, sebagai Adun AMANAH yang berjuang membela nasib rakyat, semua langkah yang terdaya bagi membawa suara rakyat telah dilaksanakan dan aset yang paling penting bagi sesebuah negeri secara khususnya dan negara amnya adalah rakyatnya yang melebihi segala-galanya. 

Sehubungan itu saran beliau, keadilan dan hak kehidupan yang selesa dan selamat perlu diperjuangkan bagi membela nasib 40,000 rakyat di Teluk Kumbar dan Sungai Batu. 

Oleh itu, Azrul mengharapkan hak warga Pulau Pinang lebih diutamakan dan cadangan pembinaan asrama warga asing tersebut wajar ditolak kerana demografi dan geografinya serta prasarana asas juga tidak sesuai. 

Baca juga: Kalau gagal tubuh RCI kapal LCS, lebih baik Hishamuddin letak jawatan

Baca juga: Tiket konsert RM598, duduk jauh Billie Eilish pun tak nampak, sound pun tak ‘clear’-Peminat Malaysia kena scam