Kami tak mahu rumah mampu tengok, kata penyewa

Ramai rakyat negara ini khasnya golongan muda tidak mampu memiliki rumah ekoran harganya yang tinggi sehingga mereka menggelarkan rumah-rumahnya dibina bukannya rumah mampu milik tetapi rumah mampu tengok sahaja.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Ramai rakyat negara ini khasnya golongan muda tidak mampu memiliki rumah ekoran harganya yang tinggi sehingga mereka menggelarkan rumah-rumahnya dibina bukannya rumah mampu milik tetapi rumah mampu tengok sahaja.

Hasilnya, mereka memberikan harapan untuk menduduki rumah mampu milik dengan berharap kepada projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diusahakan kerajaan.

Tinjauan Malaysia Dateline di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Ekspo Rumah PR1MA 2015 mendapati rata-rata orang ramai yang ditemui berpendapat kerajaan perlu mengawal penggunaan tanah daripada didirikan dengan terlalu banyak projek komersial dan rumah mewah atau ‘rumah mampu tengok’.

Mohamad Nawawi dan keluargaBeberapa pengunjung yang juga penyewa di sekitar Lembah Kelang ketika ditemubual berharap mekanisme dan proses pengagihan rumah PR1MA berjalan secara telus mengikut syarat-syarat kelayakan ditetapkan termasuk tidak memiliki lebih daripada satu hartanah bagi individu atau keluarga.

Pekerja swasta, Muhammad Nawawi, 30, berkata, tawaran harga bagi kebanyakan rumah PR1MA boleh dianggap sebagai munasabah dengan pemilihan lokasi yang strategik bedekatan dengan pusat bandar.   “Kalau boleh perbanyakkan lagi rumah yang betul-betul majoriti rakyat mampu miliki manakala rakyat pula terutama orang Melayu sendiri ambil peluang dengan mendaftar di laman web PR1MA,” ujar bapa kepada seorang anak ini yang berharap memperoleh rumah mampu milik di sekitar Petaling Jaya, Selangor.

Sementara itu, Alia Ibrahim, 40, yang gembira ketika ditemui berkata, sudah empat tahun Alia Ibrahimbeliau menantikan tawaran rumah yang dilaksanakan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia itu selepas mendaftar di www.pr1ma.my.

Akhirnya, beliau yang dipanggil untuk majlis cabutan undi rumah PR1MA kini berasa sedikit lega kerana sekurang-kurangnya penantian selama ini nampaknya mulai menuju kenyataan.

“Harapnya tak berakhir di sini saja. Mudah-mudahan Allah permudahkan untuk saya terpilih menjadi salah satu pemilik rumah PR1MA sebab tawaran yang ada pun hanya lebih 500 unit sahaja,” ujarnya merujuk kepada 543 unit rumah mampu milik yang dibina PR1MA di Jalan Jubilee, Bukit Bintang.   

Menurut Farah Adelan, 24, dari Sentul pula, inisiatif kerajaan menyediakan rumah 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dengan harga antara RM100,000 sehingga RM400,000 amat disambut baik oleh rakyat.

“Sampai bila terus mahu menyewa ketika bilangan ahli keluarga tentu semakin bertambah? Perlu dibanyakkan lagi rumah PR1MA di lokasi berdekatan pusat dan pinggir bandar.

“Cukup-cukuplah bina apartmen servis, kondominium mewah sampai harga pun mencecah sejuta ringgit. Ramai sangatkah rakyat yang mampu? Tak mahulah lagi rumah mampu tengok” ujar pekerja swasta ini.

Dalam hal berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmian Ekspo Rumah PR1MA di PWTC, kelmarin memberitahu permohonan untuk rumah mampu milik yang dibina PR1MA di Jalan Jubilee, Bukit Bintang mencecah lebih 25 kali ganda manakala di Alam Damai, Cheras menerima permohonan lebih lima kali ganda berbanding 2,000 unit yang ditawarkan.

Sementara itu, berdasarkan buku maklumat disediakan pihak PR1MA, sebanyak 190 projek meliputi 227,776 unit projek di seluruh negara telah diluluskan sehingga 11 November lalu.

Tawaran paling banyak di Selangor iaitu sebanyak 34,567 unit diikuti Pulau Pinang (26,334), Sabah (29,542) dan Melaka berjumlah 24,674 unit.

Antara syarat kelayakan memohon rumah PR1MA ialah bujang atau berkahwin serta berumur 21 tahun dank e atas serta berpendapatan bulanan isi rumah individu atau keluarga (suami & isteri) antara RM2,500 hingga RM10,000

Hari ini merupakan hari terakhir berlangsungnya Ekspo Rumah PR1MA di PWTC untuk orang ramai mendapatkan maklumat lebih lanjut projek yang sedang dan akan dilaksanakan selain menyertai sesi cabutan bertuah.

TAGS