Kami tidak rasis, kata Dong Zong

Kami tidak rasis, kata Dong Zong

Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) hari ini menafikan label ‘rasis’ yang dilontarkan terhadap mereka.

Dalam kenyataan yang dibuat bersama itu, Dong Jiao Zong meluahkan rasa kesal atas tuduhan dilempar Perdana Menteri yang menyifatkan mereka sebuah badan yang menolak usaha kerajaan dalam pendidikan.

Ini kerana katanya, Dong Jiao Zong bukan satu-satunya badan yang menolak pengajaran seni Khat di sekolah jenis kebangsaan, tetapi pandangan tersebut mewakili suara arus perdana dalam komuniti non-muslim di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kami kesal dan menafikan dengan tegas label yang dilontarkan ke atas Dong Zong, kononnya Dong Zong yang menolak pengajaran seni khat adalah badan rasis yang menolak segala usaha kerajaan dalam pendidikan.

“Bukan semua orang Melayu bersetuju dengan langkah ini. Sebagai contoh, Tan Sri Rafidah Aziz telah menyatakan bahawa seni khat harus dijadikan mata pelajaran elektif dan bukan wajib.

“Mengajar seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bukan sahaja membimbangkan ibu bapa bukan muslim di SJKC dan SJKT, tetapi juga ibu bapa bukan muslim di SK,” jelasnya.

Dalam kenyataan itu, Dong Jiao Zong berkata, dakwaan terdapat usaha Islamisasi dalam pengenalan khat tersebut sememangnya berasas berdasarkan motivasi agama yang nyata di jelaskan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Beliau memetik kenyataan Yadim yang menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dan seni khat “demi meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap tulisan Jawi dan Bahasa Arab, serta memudahkan mereka untuk mempelajari Al-Quran serta memahaminya seterusnya beramal dengannya”.

Dong Jiao Zong juga berkata, pihaknya menyokong hasrat Yadim dan pihak lain untuk meningkatkan penguasaan tulisan Jawi untuk anak-anak Muslim sahaja dan menyaran agar seni khat terus diajar dalam Pendidikan Islam.

“Dong Jiao Zong mengambil maklum dan menghormati usaha kerajaan dan masyarakat Melayu untuk memelihara tulisan Jawi.

“Akan tetapi, untuk tulisan diterima dan dipelajari oleh komuniti non-muslim, ia mesti boleh mengungkap makna dan perbincangan di luar bidang Islam, sepertimana bahasa Arab digunakan oleh orang Arab bukan muslim seperti di Palestine, Lebanon, Syria dan Mesir untuk semua tujuan tanpa batasan termasuk agama Kristian,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dong Jiao Zong menyeru Kementerian Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengambil langkah membentuk badan penasihat yang merangkumi semua komuniti bahasa dan agama dalam kementeriannya agar kontroversi seperti isu seni khat tidak berulang di masa hadapan.

Semalam, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Mahathir berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).