Kami tolak tawaran Umno untuk jadi MB, kata Pengerusi AMANAH Perak
Saya menegaskan di pihak AMANAH ‘solid’ di belakang Menteri Besar untuk mendokong kerajaan yang ada pada hari ini, kata Asmuni sambil menunjukkan bukti tawaran Umno.

Kami tolak tawaran Umno untuk jadi MB, kata Pengerusi AMANAH Perak

Umno pernah menawarkan jawatan Menteri Besar Perak kepada Pengerusi AMANAH negeri jika sedia membentuk kerajaan negeri bersama Umno dan Pas, dakwa Exco Kerajaan Perak, Asmuni Awi.

Namun, katanya, beliau menolak bulat-bulat tawaran tersebut.

“Saya ingin mendedahkan, Umno pada 1 November lalu telah menghantar wakil mengajak saya keluar daripada Pakatan Harapan dan menawarkan saya jawatan Menteri Besar bagi membentuk kerajaan bersama-sama Pas dan wakil rakyat BERSATU.

“Saya tolak bulat-bulat tawaran yang dibuat oleh individu yang sangat dikenali itu.

“Individu yang pernah berjawatan tinggi dalam Umno Perak itu telah bertemu dengan saya dengan membawa salam daripada Datuk Shaarani dan menawarkan jawatan Menteri Besar Perak kepada saya,” kata Asmuni dalam wawancara dengan Astro Awani.

Datuk Shaarani Mohamed adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak.

Asmuni mengulas khabar angin konon wujudnya gerakan yang serius untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu oleh beberapa orang exco kerajaan negeri menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya menegaskan di pihak AMANAH ‘solid’ di belakang Menteri Besar untuk mendokong kerajaan yang ada pada hari ini.

“Dan Adun-Adun dari parti komponen Pakatan Harapan yang lain turut berpendirian yang sama. Tidak ada sebarang masalah yang boleh cetuskan pertelingkahan dan kestabilan,” katanya.

KLIK UNTUK VIDEO WAWANCARA DENGAN ASMUNI

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) didakwa menabur fitnah kononnya ada konspirasi dalam Pakatan Harapan mahu menjatuhkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, kata Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming.

Katanya, dakwaan pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad adalah satu taktik politik kotor mahu menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan PH.

Semua 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak dari PH menyokong pimpinan Faizal, kata beliau, yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat.

“Saya tegaskan, tohmahan (ada komplot mahu menjatuhkan MB Perak) adalah tidak benar. Saya yakin 31 Adun PH beri sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri Perak dan Menteri Besar,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.