Kampong Baru: Harga tanah diminta pemilik atau pewaris perlu diambil kira

Oleh MALAYSIADATELINE

Selepas menghadiri sesi Town Hall hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, pihaknya perlu mengambil kira harga pembelian tanah yang diminta oleh pemilik atau pewaris yang mesti memungkinkan projek pembangunan semula itu dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, sekiranya membeli tanah pemilik atau pewaris dengan harga yang mahal, maka pihaknya juga perlu menjual dengan kadar harga yang mahal.

“Sedangkan kita nak projek yang baharu itu (merangkumi rumah, pejabat dan kawasan hijau) semuanya kekal milik Melayu.

“Apabila kami mengambil kira semua itu, maka kita beli dengan harga yang mengambil kira syarat pemilikan itu, iaitu harga hartanah orang Melayu supaya apabila dibangunkan nanti, kita akan jual kepada orang Melayu juga.

“Jadi janganlah bila nak jual, mereka meletakkan harga yang mahal, lepas itu bila kita nak jual pula, minta harga yang rendah. Itu tidak adil.

”Kita nak beli tanah mereka, seterusnya membangunkan kampung tersebut. Kemudian kita nak jualkan juga kepada masyarakat Melayu,” katanya pada sidang media di Dewan Perdana Felda, hari ini.

.Baca: Dilindungi akta

Justeru, Khalid mengharapkan semua pemilik dan pewaris kampung bersejarah itu supaya mengambil kira perkara tersebut iaitu berkaitan harga tanah.

Bagi mengatasi perkara berkenaan, Khalid yang juga merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH berpendapat, mengambil jalan tengah adalah langkah alternatif bagi berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat.

“Biarlah kita mengambil jalan tengah supaya adil bagi semua termasuk pemilik dan juga pewaris. Mereka juga kena ingat bahawa mereka ada tanggungjawab untuk membantu ke arah mengembangkan lagi hartanah Melayu di kawasan ibu kota sebab itulah mereka sendiri telah menjadi sebagai pemilik asal tanah di situ.

“Mereka sendiri tak akan jadi sebagai pemilik kalau konsep untuk adanya hartanah Melayu di ibu kota tidak wujud daripada awal lagi.

“Disebabkan adanya konsep itu, maka mereka pun seharusnya setia kepada konsep berkenaan dan menjual tanah mereka dengan harga yang adil serta munasabah supaya kita pun boleh beli.

“Apabila sudah dibeli nanti, ianya akan dijual dengan harga yang mampu dibeli oleh masyarakat Melayu,” ujarnya lagi.

Baca: Maklum balas waris

Baca: Tawar harga terbaik