Malaysia Dateline

Kampong Bharu: Kerajaan tawarkan RM1,000 kaki persegi, pegangan saham

Pemilik dan pewaris tanah di Kampong Bharu mungkin boleh berasa lega kerana kerajaan telah bersetuju menaikkan nilai harga hartanah kepada RM1,000 kaki persegi berbanding RM850 kaki persegi pada sebelum ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad, dari harga RM1,000 satu persegi tersebut, RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan yang telah dipilih oleh para pemilik tanah.

Katanya, baki RM150 itu pula, pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

“Tawaran harga RM850 bagi satu kaki persegi itu merangkumi pilihan pulangan sama ada dalam bentuk tunai, aset atau tambahan pegangan saham.

“Pemilik boleh memilih sama ada mahu dalam bentuk tunai, aset sahaja, tunai dan aset, atau menambah pegangan saham.

“Di samping itu, potongan harga sejumlah 15 peratus juga akan diberikan kepada pemilik tanah yang memilih untuk membeli hartanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan kelak.

“Sebagai contoh, harga rumah Residensi Wilayah yang dibangunkan di Kampong Bharu akan dijual kepada pemilik tanah pada harga RM255,000 satu unit sahaja dengan keluasan lantai 900 kaki persegi berbanding harga biasa iaitu RM300,000 satu unit,” jelasnya.

Khalid Samad

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas pengumuman cadangan tawaran baharu tanah Kampong Baru, di Menara DBKL, hari ini.

Khalid turut menyifatkan tawaran berkenaan adalah yang terbaik boleh diberikan oleh pihak kerajaan kepada semua pemilik tanah bagi tujuan pembangunan di kawasan tersebut.

Dalam sidang media sama, Khalid memaklumkan bahawa tarikh terakhir bagi pemilik tanah mengemukakan borang maklumbalas adalah pada 30 November ini.

Ketika ditanya sama ada bolehkah pemilik tanah yang memilih pulangan melalui saham, melaburkan semua saham mereka dan menjadi ahli lembaga pengarah SPV, Khalid berkata perkara itu tidak menjadi masalah.

“Sebagai contoh, kalau mereka mahu menubuhkan satu syarikat, mereka (anak jati Kampong Bharu) perlu duduk bersama dan memilih siapa ahli lembaga pengarah dalam kalangan mereka yang akan mewakili saham 15 peratus itu dalam SPV,” jelasnya.

Shahrom Mohd Harun

Sementara itu, pemilik tanah Kampong Bharu, Shahrom Mohd Harun, 74, ketika ditemui pemberita menyifatkan tawaran itu sebagai satu tawaran yang bagus.

“Cuma kami perlu memahami dengan lebih mendalam tentang kaedah contohnya seperti mendapat pulangan melalui bentuk saham.

“Saham itu bagaimana pula peraturannya. Mungkin pihak Perbadanan Kampong Bharu (PKB) boleh menerangkan kepada kami tentang perkara tersebut,” katanya.

‘Durian runtuh’ kepada pemilik tanah Kampong Bharu.

 

Pemilik tanah diberi diskaun 15 peratus jika memilih untuk membeli hartanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan.