Malaysia Dateline

Kampung Baru: Kerajaan PH lebih telus dan praktikal

Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bahawa tawaran pembelian tanah RM1,000 kaki persegi tidak dapat dilaksanakan adalah helah baru kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menggambarkan sikap tidak serius untuk membangunkan tanah milik orang Melayu di Kampung Baru.

Walhal menurut Timbalan Ketua AMANAH Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, ketika itu Annuar Musa lah yang paling lantang membangkang dengan mendakwa bahawa harga pasaran Kampung Baru sudah mencecah sekitar RM3,000 kaki persegi.

Namun setelah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan katanya, harga RM1,000 yang ditawarkan kerajaan PH itu tidak mampu dilaksanakan malah diberi pula pelbagai alasan remeh.

“Tan Sri Annuar Musa nampaknya tidak serius dalam usaha membangunkan tanah milik orang Melayu Kampung Baru.

“Dahulu kerajaan PH mengemukakan tambahan tawaran lain iaitu potongan 15 peratus bagi pemilik tanah yang memilih untuk membeli hartanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan Kampung Baru itu.

“Ini bagi menggalakkan penduduk Kampung Baru untuk terus menetap di situ dan mempunyai pegangan di atas tanah mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah sebelum ini, beberapa siri libat urus dan sesi townhall bersama pemilik tanah telah diadakan oleh Menteri Wilayah bersama Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, di mana sebahagian besar telah pun menyatakan persetujuan melalui borang maklum balas yang dihantar.

Justeru ujar Ahmad Zamri, cadangan pembangunan yang dicadangkan kerajaan PH itu dilihat lebih telus dan praktikal mengikut pasaran semasa hartanah milik Bumiputera.

“AMANAH Titiwangsa berharap agar isu pembangunan Kampung Baru ini tidak lagi dipolitik dan dipolemikkan oleh kerajaan PN demi mengaut keuntungan politik sempit.

“Isu ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin bagi memastikan hak milik kekal kepada orang Melayu di samping meningkatkan ekonomi dan hartanah Bumiputera yang sudah lama terpendam di dasar tanah Kampung Baru,” katanya lagi.