Malaysia Dateline

Kampung Baru: Khalid beri kerjasama jika DPMM setuju beli RM2,000 kaki persegi

Selepas kerajaan menawarkan harga RM850 kaki perseki kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) pula membidas kerajaan bahawa harga sepatutnya bagi tanah itu adalah RM2,000 kaki persegi.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad menyambut baik pandangan daripada Setiausaha Agung DPMM  Amirhamzah Karim.

Dan Khalid juga berharap pandangan ini adalah pandangan kolektif daripada DPMM sendiri dan ianya berdasarkan penilaian yang dilakukan secara profesional.

Beliau turut mengalu-alukan sekiranya DPMM mengusahakan agar tanah Kampung Baru dibeli dengan harga RM2,000 sekaki persegi.

“Saya yakin berdasarkan penilaian profesional yang dilakukan DPMM akan mampu mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan untuk menjayakan pembelian ini.

“Jika DPMM bersetuju untuk membelinya dengan harga RM2,000 kaki persegi saya akan pastikan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Kampung Baru (PKB) memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membolehkan DPMM membeli tanah penduduk Kampung baru dengan harga yang ditawarkan tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Khalid juga yakin hasrat DPMM ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari pemilik dan pewaris Kampung Baru.

Secara umumnya Kemeterian Wilayah Persekutuan terbuka dan tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan harga yang lebih tinggi asalkan syarat-syarat pemilikan iaitu milik Melayu dipatuhi, katanya.