Malaysia Dateline

Kampung Baru: Khalid minta masa sebulan selesaikan isu harga tanah

Khalid Samad

Khalid Samad berkata, beliau memerlukan masa selama sebulan untuk memutuskan harga tawaran baru pembelian tanah di Kampung Bharu.

“Saya telah menyatakan bahawa saya memerlukan masa sebulan untuk putuskan harga tawaran baru.

“Dalam masa ini, saya akan bertemu dengan Tun Dr Mahathir untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai permohonan pemilik tanah Kampung Bharu,” kata Menteri Wilayah Persekutuan kepada media hari ini.

Menurut Khalid, sebelum ini beliau memberitahu akan bertemu Tun Mahathir semasa mesyuarat Kabinet semalam tanpa ingat bahawa Dr Mahathir berada di Amerika ketika itu untuk menghadiri mesyuarat agong PBB.

“Dalam mesyuarat Kabinet semalam, isu Kampung Bharu hanya disebut sambil lalu sahaja tanpa menyentuh isu harga.

“Insya Allah bila Tun balik saya akan bertemu dengan beliau bagi membincangkan soal harga yang dipohon ini,” katanya.

Penduduk Kampung Bharu pada dasarnya menyokong pembangunan semula Kampung Bharu.

Namun mereka meminta harga jualannya dinaikkan dari RM850 sekaki persegi yang ditawarkan oleh Khalid semasa sessi town hallĀ  pada 21 September lepas.