Malaysia Dateline

Kampung Menteri Kesihatan belum dapat vaksin, jangkitan Covid-19 sudah 63 kes

Menurut statistik Kementerian Kesihatan (KKM), seramai 63 kes positif Covid-19 disahkan sekitar Pekan Rengit (62 Mukim Sungai Kluang + 1 kes Mukim Sungai Punggor) dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Yang telah berjaya menerima vaksin, setahu saya sifar. Pusat Pemberian Vaksin (PPV), 0. Bagaimana sampai kampung Menteri Kesihaan Adham Baba pun tertinggal vaksin?

Pekan Rengit tidaklah besar sangat, bilangan penduduk mungkin lebih kurang 30,000 orang. Ramai anak muda yang merantau di kota-kota besar – Johor Bahru, Kuala Lumpur malah Singapura pun ramai. Kawan-kawan semua rindukan Rengit dan saudara-mara yang ada di kampung, kan?

Saya sempat balik hujung bulan Disember 2020 sebelum PKP diperketatkan. Puas duduk Rengit seminggu. Ramai lagi kawan yang lebih setahun tidak balik sebab Covid-19.

Orang tua di Rengit, ada juga yang duduk berseorangan (seperti ayah saya), sudah cukup lama tidak dapat bertemu dengan anak cucu yang tinggal di kota. Begitu bosan, sunyi dan rindu.

Dari Hari Raya Aidilfitri 2020, hingga Tahun Baru Cina 2021, hinggalah Hari Raya Aidilfitri 2021 – keluarga berpisah. Tahun 2022, bagaimana?

Tapi tidak mengapalah. Bukan Rengit saja, jiran kita di Senggarang, Benut, Parit Raja semua menghadapi cabaran yang sama.

Sekatan pergerakan untuk mengekang Covid-19 daripada merebak untuk kebaikan semua. Takkan kita nak bawa penyakit balik ke saudara-mara di kampung.

Harapan vaksin

Mulai bulan Mac 2021 program vaksinasi Covid-19 bermula. Kita mula nampak ada sedikit harapan. Masa itu kes positif harian di Malaysia sekitar 1,500 ‘sahaja’. Fasa 1 vaksinasi khas untuk barisan hadapan, doktor-doktor yang bertugas di barisan hadapan. Fasa 2 bermula 19 April 2021, disasarkan untuk warga emas iaitu mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Saya telefon ayah hampir tiap-tiap hari. Dia daftar vaksin sejak bulan Febuari lagi. Jiran tetangga yang saya kenal di Rengit, kebanyakan daftar awal-awal sudah.

Semak tarikh temujanji vaksin di aplikasi MySejahtera tiap-tiap hari. Maaf, dua tiga kali tiap-tiap hari. Dinasihati ‘Delete’ lepas itu pasang balik aplikasi MySejahtera, takut software tidak update tertinggal temujanji. Macam-macam sudah buat, tapi tarikh appointment tiada. Hampa.

Ayah saya lahir tahun 1953, guru bersara. Jiran depan Uncle Ah Piao lahir tahun 1946, nelayan. Umur 75 tahun tapi badan masih kuat. Kak Timah belakang rumah umur 60-an, tidak silap ada kencing manis.

Dalam kejiranan kami di Taman Maju Jaya, Melayu dan Cina campur-campur. Yang tua-tua dalam usia 70-an, 80-an pun ada. Rata-rata sudah daftar vaksin, tetapi seorang pun belum dipanggil. Ham-pehh…

Ayah saya kata, takpelah. Yang lagi berusia pun belum dapat. Dia baru 68 tahun. Tapi saya dan adik makin resah. Orang tua berisiko tinggi, mesti dilindungi cepat dengan vaksin. Kalau kena jangkitan Covid bahaya sangat, boleh ragut nyawa. Ini bukan main-main.

Benut pun sama

Saya tanya di kumpulan WhatsApp kawan-kawan Rengit, tiada seorang pun yang kata dapat temujanji. Pekan Benut (daerah Pontian) di sebelah pun, sama. Yang 80-an pun menunggu lagi.

Kenapa begitu, saya tanya? Seluruh daerah Batu Pahat, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) cuma ada dua (dengar mulai hari ini buka lagi satu di Hospital Swasta Putra).

Parit Raja, Yong Peng, Ayer Hitam, Parit Sulong, Sri Medan, Senggarang, Rengit, semua menunggu. Penduduk bukan sedikit, kalau dicampar ratusan ribu orang. Kenapa yang duduk luar bandar seolah-olah dilupai dan ditindas?

Sekali lagi saya ulang, Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba berasal dari Kampung Sungai Dulang, Rengit.

Kalau diminta orang kampung pergi ambil vaksin di Bandar Batu Pahat pun, ramai yang sanggup pergi. Walaupun jaraknya 37 km dan bukan semua keluarga ada kereta.

Tetapi janji dapat dilindungi vaksin. Tetapi setahu saya, yang duduk Parit Raja, Yong Peng ada yang telah dapat vaksin di Bandar Batu Pahat. Yang duduk kampungku Rengit, 0.

Kluster ‘meletup’

Awal bulan Mei, meletup kluster Covid-19 di Rengit di Taman Maju Jaya. Di depan, belakang, kiri dan kanan rumah ayah saya.

Lebih kurang 25 orang positif Covid-19 dalam lingkungan 300 meter. Azan solat dari surau di belakang rumah berhenti terus. Sebab pakcik-pakcik yang jaga surau ada yang positif ada yang kuarantin.

Saya semak laporan KKM terbaru, jumlah kes di Rengit sudah 62 kes dalam tempoh 14 hari yang lepas (30 Mei 2021). Punya takut dan cemas orang kampung di Rengit, ayah kata.

Semua tanya bila vaksin sampai Rengit. Kita mahu vaksin sekarang. Tidak kira Cina atau Melayu, vaksin diminta segera.

Sebagai seorang ahli penyelidik yang ada sedikit ilmu dalam bidang dasar awam (public policy), saya peka dengan jurang antara bandar dan desa, jurang ekonomi antara yang miskin dan yang kaya.

Namun, langsung tidak disangka, jurang vaksin begitu besar antara pekan kecil seperti Rengit dengan Bandar dan Kota. Yang duduk bandar pun ramai orang tua yang masih menunggu. Tapi saya marah dan tidak boleh memahami kenapa pekan-pekan langsung tertinggal.

Jurang vaksin 

Rangkaian Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di bawah KKM sebenarnya ada di merata-rata tempat. Klinik swasta pun banyak. Kenapa tidak dibuat Pusat Pemberian Vaksin di klinik-klinik tersebut?

Malah, sekolah-sekolah sekarang semua tutup. Boleh dipertimbangkan tubuhkan pusat vaksin sementara dengan memanfaatkan sekolah kerajaan yang semuanya ada dewan berbumbung, ventilasi udara yang baik, tempat yang luas dan lokasi yang amat dekat dengan penduduk.

Sistem temujanji MySejahtera memang kena rombak. Tidak tahu syarikat mana yang duduk di KL / Putrajaya yang buat algorithm temujanji sampai semua orang pening.

Staf KKM di lapangan saya dengar pun dah ‘fed-up’ dengan MySejahtera. Berilah lebih ruang dan kuasa kepada pegawai di lapangan untuk buat keputusan.

Kerja kerajaan Pusat tumpukan pada bekalan vaksin dan penghantaran ke seluruh pelosok negara. Yang lain berikan kuasa kepada pegawai di lapangan.

Tambah PPV sekarang!

Pandangan saya yang paling penting sekarang sediakan Pusat Pemberian Vaksin di semua tempat. Minta doktor swasta (dengan bayaran munasabah) bantu, minta NGO-NGO bantu kalau tenaga kerja tidak mencukupi.

Johor sekarang cuma ada dalam 30 PPV. Mana cukup untuk jumlah penduduk 3.7 juta orang. Kena terus tambah sampai 100 buah pusat. Kalau tidak sampai 2023 pun tak capai sasaran vaksinasi. Bukan 2022, tapi 2023. Cuba buat kira-kira dengan betul.

Kedua, benarkan ‘walk-in’ terutamanya untuk golongan warga emas. Ini boleh dibuat dengan cara bersasar. Kena faham budaya kerja orang kampung yang tidak berapa biasa dengan cara appointment apatah lagi dengan cara teknologi aplikasi smartphone.

Ingat, anak-anak merantau di kota. Yang tinggal di kampung orang tua. Bukan salah mereka kalau tidak pandai buat appointment melalui internet atau apps.

Mereka guna telefon panggil hotline KKM 1800-888-828 – puluhan kali panggil, sekali pun tidak berjawab. Saya tahu bukan salah staf yang jawab telefon pun, tapi permintaan yang terlalu ramai. Sistem appointment sekarang nampak canggih tapi banyak kelemahan.

Aduh, punya panjang lebar saya menulis. Ini luahan dari hati. Ini panggilan untuk perbetulkan keadaan segera. Rengit mahu vaksin sekarang. Nyawa orang kampung nilainya tidak kurang daripada nyawa orang bandar.

Ahli keluarga kita di Rengit, di Benut, di Senggarang, di merata-rata tempat menunggu vaksin Covid-19. Hanya dengan vaksin sahaja kita harap dalam masa terdekat keluarga dapat bertemu kembali, dapat bercakap, berpeluk-peluk, makan semeja bersama-sama.

Kita mahu vaksin sekarang! Dengar tak Menteri Adham Baba? Dengar tak Pak Menteri Khairy Jamaluddin? Minta bangun dan buat kerja. Jangan tinggalkan orang kampung.